Mahaizura Abd Malik


“APABILA kita dapat menguasai bahasa tempatan, kehidupan harian akan jadi mudah dan kita juga lebih dihormati. Ini memberikan kepuasan kepada saya.

"Sama juga apabila saya dengar orang luar pandai cakap bahasa saya di negara saya, ia satu kebanggaan dan penghormatan kepada kami," demikian kata jejaka Republik Czech, Hamza Youssouf Mahamad, 28, yang fasih bertutur dalam bahasa kebangsaan dan loghat utara.

Menurut Hamza, dia bertatih mempelajari bahasa tempatan sejak menetap di negara ini lapan tahun lalu bagi menyambung pengajian.

"Saya memang tak pernah pergi mana-mana kelas atau menggunakan kamus. Hanya dengar orang cakap dan belajar ikut, kalau tak faham saya akan tanya maknanya apa.

"Mungkin bila hari-hari biasa dengar, lama kelamaan saya pun boleh cakap dengan sendiri.

"Saya mengambil masa dua tahun untuk kuasai bahasa Melayu sebelum minat mempelajari loghat Kedah selepas menetap di Kedah pada 2014," katanya kepada Harian Metro.

Video Hamza dan rakannya Anwar Yusuf Ali, 24, bertutur dalam loghat Kedah sambil berpantun dengan loghat Kelantan tular hingga mencuri tumpuan ramai netizen yang bangga dengan kebolehan mereka itu.

Anwar yang berasal dari Nigeria berkata, dia mempelajari bahasa kebangsaan dan loghat pantai timur itu daripada rakan seasrama yang menuntut di Universiti Utara Malaysia (UUM).

"Saya kerap mendengar rakan sebelah bilik bercakap lain daripada bahasa yang orang Kuala Lumpur selalu gunakan. Jadi saya pun berminat mempelajarinya kerana ia berbeza dan unik.

"Walaupun sudah pandai cakap loghat Kelantan sedikit-sedikit, saya masih lagi belajar sampai hari ini," katanya.

Katanya, dia tidak menyangka video berkenaan yang pada mulanya dirakam pemandu Grab yang membawa mereka sepanjang perjalanan pulang ke asrama selepas makan tengah hari pada Jumaat lalu, tular.

"Kami ke sini minggu lalu mewakili UUM untuk Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

"Tidak sangka video yang dirakam dari Seri Kembangan ke asrama penginapan kami di Bangi itu tular," katanya.

Sementara itu, pemandu Grab separuh masa, Wira Abu Bakar, 35, mengakui dia adalah individu yang merakam video berkenaan sebelum menjadi tular di laman sosial.

"Sebagai pemandu, biasanya saya akan bertanya beberapa perkara untuk memulakan perbualan. Tidak sangka mereka menjawab dalam bahasa kita dengan begitu mahir sekali.

"Oleh kerana teruja dengan kebolehan mereka itu, saya sempat merakam video dan menyebarkan dalam tiga kumpulan pemandu Grab dan Uber di WhatsApp.

"Niat saya cuma mahu berkongsi perkara baik ini dan menunjukkan kepada rakan pemandu lain bahawa golongan ‘Mypren’ iaitu gelaran untuk orang berkulit hitam yang dikenali suka membuat masalah, tidak semuanya berkelakuan sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2018 @ 9:34 PM
Hamza Youssouf Mahamad
RAKAMAN video Hamza dan rakannya Anwar Yusuf Ali masing-masing berbual dalam loghat Kedah dan Kelantan. FOTO Ihsan Hamza Youssouf Mahamad