KERETA mewah yang dirampas polis daripada Geng 360. FOTO Zain Ahmed
Izlaily Nurul Ain Hussein


POLIS Johor menumpaskan kumpulan kongsi gelap, Geng 360 yang dipercayai sudah bertapak lebih 20 tahun dengan penahanan 35 lelaki di seluruh negara sejak Disember tahun lalu.

Tangkapan itu dibuat hasil operasi khas yang dijalankan Polis Johor dengan bantuan Bukit Aman susulan pembunuhan ahli kongsi gelap di stesen minyak Taman Pelangi, Johor Bahru, 17 Disember 2017.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, berkata Geng 360 adalah pertubuhan haram yang mempunyai kaitan rapat dengan kes pembunuhan berkenaan dan pihaknya mengenal pasti hampir 100 individu terbabit dengan kumpulan terbabit.

“Kes pembunuhan itu dapat diselesaikan dan hasil siasatan, kita membongkar rangkaian Geng 360 di Johor yang terbabit dengan aktiviti kekerasan, dadah serta penyeludupan.

“Kira-kira 100 anggota geng ini dikenal pasti dan sejak operasi dijalankan, 35 orang sudah ditahan.

“Kita akan terus memburu saki-baki anggota kumpulan itu walaupun ada yang dipercayai melarikan diri dari negeri ini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di Johor Bahru, hari ini.


JAM tangan mewah dan wang yang dirampas polis daripada Geng 360. FOTO Zain Ahmed

Mohd Khalil berkata, siasatan dibuat mengikut Seksyen 130 V Kanun Keseksaan kerana menjadi ahli kumpulan jenayah terancang dan Seksyen 130W kanun sama kerana membantu ahli kumpulan jenayah terancang.

Katanya, semua yang ditahan berusia antara 20 hingga 69 tahun dan direman 28 hari mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 sebelum ini.

“Mereka akan didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, esok," katanya.

Beliau berkata, siasatan turut dibuat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Ia bertujuan membeku dan menyita harta milik ahli kumpulan itu berjumlah lebih RM6.5 juta termasuk tujuh kenderaan mewah, empat hartanah, 73 akaun, enam jam tangan berjenama serta pelbagai jenis mata wang.

Berita berkaitan:

Didakwa bunuh, bersubahat [METROTV]

9 suspek kes bunuh Taman Pelangi diburu

Suspek kes samun juga

Ditikam, dilanggar, digilis sampai mati [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Februari 2018 @ 11:06 AM