Skip this ad x
Junaidi Ladjana

Lahad Datu: Dia bukan saja ditampar di kiri dan kanan mukanya sebanyak dua kali, malah hampir disembelih hidup-hidup apabila anak kepada ketua pengganas Kiram, Jeneral Musa Abdullah meletakkan sebilah parang dikenali sebagai barong (parang Sulu) ke lehernya.

Bukan itu saja, rumahnya rosak dan harta benda miliknya hilang akibat pencerobohan pengganas Sulu di Kampung Tanduo yang melarat sehingga ke kawasan penempatan mereka di Kampung Tanjung Batu.

Serangan pengganas yang juga pengikut Jamalul Kiram III dari selatan Filipina itu juga menyebabkan rumah bapanya yang juga Ketua Kampung Tanjung Batu, Mahmud Mallang antara yang terawal musnah akibat dibakar.

Itu situasi tidak akan dilupakan penduduk Kampung Tanjung Batu, Ajmain Mahmud, 39, sehingga menyebabkan dia trauma selama setahun.

Menceritakan kembali peristiwa itu, Ajmain berkata, ketika tercetusnya perang pada 1 Mac di Kampung Tanduo, isteri dan anak perempuannya berusia empat tahun bersama puluhan penduduk kampung berpindah ke Dewan Fajar Harapan.


AJMAIN Mahmud menceritakan pengalamannya berhadapan dengan pengganas Sulu. FOTO Khairull Azry Bidin.

“Saya dan empat ahli keluarga semuanya lelaki tinggal di rumah kerana bimbang rumah dimasuki pencuri...jika pengganas datang, dengan kudrat yang ada, kami sempat untuk melarikan diri.

“Pada pagi 6 Mac 2013, tiba-tiba muncul sekumpulan lelaki lengkap bersenjata di hadapan rumah. Saya tidak dapat berbuat apa-apa.

“Lalu seorang daripada kumpulan itu, saya percaya ketua mereka iaitu Jeneral Musa mengarahkan saya datang ke arahnya. Disebabkan bimbang diapa-apakan, saya hanya menuruti kata-katanya.

“Tetapi, tiba-tiba saja seorang daripada anggota kumpulan itu menampar saya dua kali. Selepas itu, lelaki terbabit mengacukan barong ke leher saya untuk di sembelih hidup-hidup.

“Kalau saja barong itu ditarik, saya sudah arwah masa itu. Pada masa itu juga, saya hanya memikirkan isteri dan anak sulung, Ainazerah yang kini berusia sembilan tahun,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Dia yang kini bertugas sebagai anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) berkata, anak jeneral Musa itu mendakwa, kononnya dia yang membuat laporan kepada pihak berkuasa berkenaan kehadiran mereka di Kampung Tanduo.


KANAK-KANAK Kampung Tanjung Batu meneruskan kehidupan mereka. FOTO Khairull Azry Bidin.

“Mereka (pengganas Kiram) mendakwa saya yang melaporkan kehadiran pengganas di Kampung Tanduo. Namun saya menafikan perkara itu sebelum anak Jeneral Musa mengalihkan barong berkenaan.

“Selepas itu, saya bersama puluhan penduduk ditawan sebelum kami dibawa ke sebuah rumah yang terletak hampir 500 meter dari rumah saya.

“Saya bersama seorang rakan kemudian diarah membeli makanan kerana kononnya mereka beberapa hari tidak menjamah nasi. Salah seorang daripada kumpulan pengganas menghulurkan RM400 untuk membeli beras,” katanya.

Ajmain berkata, dia bersama seorang lagi rakannya dikenali sebagai Rudy kemudian keluar dari kampung itu sebelum dia melarikan diri ke Dewan Fajar Harapan FELDA Sahabat (tempat perlindungan penduduk), manakala Rudy lari ke pos Pasukan Gerakan Am (PGA) berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Labian.

“Selepas itu, pasukan keselamatan membawa saya ke FELDA Sahabat 16 untuk diambil keterangan,” katanya.

Menyambung cerita, Ajmain berkata, walaupun insiden itu sudah lima tahun berlalu, ia tetap segar dalam ingatan sampai bila-bila.

“Detik leher hampir disembelih dan muka ditampar antara yang tidak akan dilupakan.

“Namun kini, Alhamdulillah... keadaan kampung kembali seperti sedia kala, malah tahap keselamatan dipertingkatkan dengan adanya pos kawalan oleh pasukan keselamatan,” katanya.


PENDUDUK Kampung Tanjung Batu meneruskan kehidupan mereka. FOTO Khairull Azry Bidin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2018 @ 11:53 AM
KERATAN akhbar Harian Metro lima tahun lalu mengenai insiden pencerobohan Lahad Datu. FOTO NSTP