Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


POLIS mengesahkan punca kematian bayi perempuan bukan disebabkan khidmat ‘doula’ atau pembantu ketika melahirkan anak seperti ditularkan dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Daya, Johor Bahru, baru-baru ini.

Ketua Polis Johor Bahru Selatan (JBS) Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, siasatan lengkap dijalankan mendapati kematian bayi berkenaan adalah akibat lemas selepas dilahirkan dalam keadaan songsang.

Sehubungan itu, pihaknya merujuk isu yang tular mengatakan doula yang menyebabkan bayi meninggal dunia, kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Siasatan lengkap sudah dijalankan berkaitan kes kematian bayi perempuan yang meninggal dunia ketika dilahirkan di rumah.

“Pengadu dan isterinya menafikan bahawa mereka menggunakan apa-apa khidmat ‘doula’ ketika bayi dilahirkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pasangan itu mengesahkan tiada mana-mana pihak atau individu yang menghasut atau mendorong mereka untuk melahirkan bayi di rumah.

“Berdasarkan siasatan yang dijalankan oleh polis, punca kematian bukanlah disebabkan oleh perkhidmatan doula. Berkaitan tular isu ‘doula’, ia akan disiasat dan laporan polis dirujuk kepada SKMM untuk tindakan susulan,” katanya.

Sebelum ini polis mengesahkan sudah memulakan siasatan berhubung penularan berita kematian bayi yang baru dilahirkan yang pada mulanya disyaki berkaitan dengan amalan khidmat ‘doula’ (pembantu ketika melahirkan anak) di sebuah rumah, baru-baru ini.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu dan turut menerima laporan polis dibuat wanita yang dipercayai doula terbabit.

“Memang ada banyak kenyataan di Facebook (FB) berhubung kejadian ini dan wanita yang dikatakan doula itu juga ada membuat laporan polis menafikan tuduhan bahawa dia terbabit dengan kejadian yang menyebabkan kematian bayi itu.

“Kita sudah merujuk dengan keluarga yang melahirkan bayi itu, namun menurut kenyataan awal mereka tiada menyebut hal doula ini.

“Jadi, kita sudah memulakan semula siasatan terperinci berdasarkan apa yang dinyatakan dalam FB dan kita akan mendapatkan semula maklumat,” katanya.

Terdahulu, tular di FB berhubung kematian seorang bayi yang dilahirkan dengan cara ‘homebirth’ yang didakwa berlaku di negeri ini.

Perbuatan ‘homebirth’ didakwa menyebabkan bayi yang baru lahir itu meninggal dunia akibat komplikasi ketika kelahiran yang berlaku di bawah pengawasan doula.

Walaupun berita berkenaan tidak dinyatakan tarikh dan masa kejadian, namun ia mendapat perhatian pengguna laman media sosial.

Berita berkaitan:

Ibu mengandung jangan ambil risiko

Polis siasat kematian bayi lahir di rumah

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2018 @ 4:48 PM