VOKAL kedengaran ada peningkatan menerusi lagu Muzik Tiduranku.
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com


Bagi peminat penyanyi dan pelakon Izzue Islam, tentunya anda pernah mendengar lagu solonya yang rancak serta ‘catchy’ seperti Bimbang dan Sahabat.

Terbaru, Izzue menyajikan satu lagi karya terbaru yang nyata berbeza berjudul Muzik Tiduranku.

Dihasilkan sendiri menggunakan nama pena IIAN, Izzue menampilkan kelainan paling ketara khususnya melodi ringkas dan membuai.

Jika sebelum ini, dia tampil dengan genre pop dan alternatif, Muzik Tiduranku pula membuai pendengar dengan muzik pop balada.

Vokal Izzue juga kedengaran seperti sudah ada peningkatan. Mungkin dia banyak belajar daripada komen yang diterima.

Lirik Muzik Tiduranku bercerita mengenai cinta mendalam sepasang kekasih walaupun dipisah oleh jarak.

Izzue berkongsi, lagu ini dihasilkannya pada 2008 sebelum dia mengenali isterinya, Awin Nurin.

“Saya hasilkan lagu ini sebelum bertemu Nurin dan kemudian jatuh cinta dengannya. Selepas berkahwin, saya beritahu dia saya ada tulis satu lagu.

“Pada waktu itu, belum ada pengalaman dalam penulisan lagu. Jadi, selepas berbincang dan memperbaiki apa yang perlu, saya rakamkan lagu ini tahun lalu,” katanya.

Mengikut interpretasi Izzue, dia menyampaikan rasa rindu kepada pasangannya menerusi lagu ini.

Video muzik lagu itu sudah dimuat naik di YouTube sejak 31 Januari lalu dan ia memaparkan pemandangan indah di Jordan.

“Dalam video muzik ini, saya tampilkan isteri yang sentiasa jadi peneman dan muncul di setiap lokasi yang saya pergi.

“Itu juga adalah gambaran perasaan rindu yang saya ingin sampaikan dalam lagu ini. Kalau rindu, orang itu akan sentiasa ‘dekat’ dengan kita,” katanya.

INFO:

Lagu: Muzik Tiduranku

Penyanyi: Izzue Islam

Komposer & lirik: IIAN

Edaran: Voxcape Entertainment

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Februari 2018 @ 2:39 AM