BELLA tidak mempunyai sebarang sebab untuk terlalu memilih watak.
HM Digital

Walaupun memberi lebih tumpuan kepada kerjaya nyanyian, tidak bermakna Bella Nazari membelakangkan bidang lakonan.

Wanita ini tidak akan sesekali menolak mana-mana tawaran berlakon selagi ia bersesuaian dengan waktu.

Menurutnya, dia tidak merancang memperlahankan rentak sebagai pelakon. Namun, pertembungan jadual menyebabkan Bella terpaksa akur tawaran berlakon itu bukan rezekinya.

Bella berkata, ada beberapa kali dia menghampakan harapan penerbit dan pengarah kerana tidak dapat menjayakan sesebuah drama.

Dia mengaku memang ada rasa bimbang sekiranya selepas ini mereka enggan memberikan peluang kepadanya.

“Ia tidak disengajakan. Saya sudah susun jadual untuk mempromosikan lagu Oh Cinta yang menjadi runut bunyi drama Duda Pujaan Dara. Apabila tawaran berlakon datang, saya terpaksa tolak sebab pertembungan jadual.

“Memang ada rasa bimbang selepas ini pengarah atau syarikat produksi tidak lagi memanggil saya untuk berlakon. Namun, saya juga tidak mahu menimbulkan masalah kepada mana-mana pihak kerana jadual yang begitu padat.

“Saya percaya pada rezeki. Kalau sudah tertulis rezeki lakonan itu milik saya, pasti ia akan terjadi seperti itu. Bagaimanapun, saya berharap mampu mengembalikan momentum lakonan tahun ini,” katanya kepada RAP.

Tidak hanya berdiam diri, Bella juga berusaha mencari peluang untuk kembali berlakon dan tidak kisah walaupun diberikan watak kecil.

Dia juga tidak mempunyai sebarang sebab untuk terlalu memilih watak.

“Untuk kembali berlakon, saya tidak duduk diam dan menunggu tawaran itu datang. Rezeki juga perlu diusahakan. Saya ada menghubungi beberapa pengarah dan penerbit yang saya kenal bertanyakan watak untuk dilakonkan.

“Sama ada watak itu besar atau kecil, saya tidak kisah. Saya tidak ada sebab untuk memilih watak. Saya bukannya artis popular yang boleh ‘demand’ macam-macam. Saya sudah cukup bersyukur jika dapat bekerja,” katanya.

Bella yang mahu meningkatkan corak lakonan dan cara nyanyiannya berharap kedua-dua cabang seni itu dapat bergerak seiring.

Dia tidak boleh memilih salah satu kerana seni adalah jiwanya.

Menurut Bella, dia juga tidak hanya terbatas untuk melakukan dua perkara itu saja. Andai diberikan peluang, anak kedua daripada tiga beradik ini juga mahu mencuba menulis lagu.

Hal masa depan bukan perkara main-main. Bella ingin membuatkan persiapan supaya dapat menjalani kehidupan yang lebih selesa.

Tidak hanya terbatas pada seni, wanita itu juga merancang menceburi bidang perniagaan.

“Saya mahu fokus bekerja untuk masa depan. Biar lambat asalkan semua impian itu terlaksana. Saya tahu menulis lagu bukan perkara mudah, tapi sedia untuk belajar dan tidak akan berputus asa.

“Mengenai perniagaan pula, saya masih melihat keadaan semasa sebelum mengeluarkan produk. Banyak perkara yang perlu saya kaji terlebih dahulu. Saya akan buat secara perlahan-lahan,” katanya. -Ardini Sophia Sina

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Februari 2018 @ 2:50 AM