BANGLO Allahyarham Datuk Sharifah Aini yang ingin dijual di Petaling Jaya. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Syanty Octavia Amry
soctavia@hmetro.com.my


“YA... betul. Ini rumah Allahyarham Datuk Sharifah Aini dan memang hendak dijual,” kata seorang individu yang ditemui di rumah berkenaan di Petaling Jaya, hari ini, berhubung iklan kediaman itu dijual.

Menurutnya, rumah itu mahu dijual oleh anak Allahyarham Aliff Omar Ali berikutan begitu besar buat mereka sekeluarga.

“Tiada sebab lain melainkan ia terlalu besar untuk dihuni, dan ia sudah diserahkan kepada ejen rumah (hartanah) untuk menjualnya,” katanya yang enggan dikenali.

Tinjauan Harian Metro ke rumah berkenaan, hari ini mendapati ia masih dihuni dan tiada sebarang papan tanda atau kain rentang yang tertulis untuk dijual.

Cubaan bertemu Aliff gagal kerana menurut individu berkenaan, dia hanya akan memberi kerjasama kepada mereka yang ingin berurusan mengenai rumah berkenaan.

“Maaf ya, kalau ditanya soal lain rasanya tuan rumah tidak berminat, tetapi untuk membeli rumah ini mungkin dia boleh memberi kerjasama,” katanya.

Terdahulu, banglo mewah di Petaling Jaya itu diiklankan mahu dijual pada harga RM8 juta di laman sosial Facebook.

Pada iklan berkenaan turut ditulis banglo berkenaan adalah kepunyaan seorang penyanyi popular.

Dalam pada itu, bekas suami Allahyarham Ali Bakar ketika dihubungi berkata, dia tidak tahu menahu mengenai penjualan banglo terbabit.

“Saya sudah lama tidak ada hubungan dengan arwah, rasanya tidak manis jika saya terlalu banyak memberi komen.

“Lagipun soal penjualan rumah (banglo) ini adalah perkara yang peribadi,” katanya.

Katanya, Aliff juga tidak ada bercakap mengenai penjualan banglo itu, dan dia tidak mahu mengulas lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Februari 2018 @ 7:39 PM