Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


PADAH mabuk dan sering membuat kacau menyebabkan seorang lelaki disimbah petrol sebelum dibakar.

Mangsa berusia 42 tahun dicucuh pemetik api oleh rakannya ketika memancing di bawah jambatan Sungai Klang, Jalan Tun Sambanthan, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa mendakwa sedang memancing bersama sepupu dan dua rakannya yang lain sebelum disimbah dengan cecair dipercayai minyak petrol.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Shaharudin Abdullah berkata, berdasarkan keterangan awal, mangsa memaklumkan ada cecair yang dibuang dari atas jambatan Jalan Tun Razak berhampiran Hentian Bas Pekeliling Kuala Lumpur yang terkena badannya ketika sedang memancing.

“Mangsa memaklumkan badannya terasa panas sebelum dia terjatuh ke dalam Sungai Klang serta dibawa arus hingga ke kawasan berhampiran Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

“Lelaki itu memaklumkan dia berjaya berenang dan sampai ke tebing lalu tertidur hingga keesokan harinya,” katanya.

Menurutnya, ketika mangsa berjalan di lokasi terbabit untuk mencari sepupu dan rakannya, orang ramai menelefon pihak Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) bagi membawa lelaki itu ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) memandangkan keadaannya yang melecur di bahagian belakang badan dan kedua-dua tangan.

“Gambar mangsa yang dibantu orang ramai turut tular di media sosial yang mendakwa mangsa disimbah dengan asid.

“Siasatan mendapati kecederaan dan cerita yang disampaikan mangsa tidak konsisten menyebabkan pihak polis membuat soal siasat kali kedua terhadap mangsa yang menerima rawatan di HKL.

“Hasil soal siasat itu, mangsa memaklumkan kejadian berlaku di Jambatan Sungai Klang berhampiran Pos Malaysia, Jalan Tun Sambanthan, namun menjelaskan dia tidak ingat mengenai kejadian itu,” katanya.

Shaharudin berkata, pegawai penyiasat kemudian melawat lokasi kejadian dimaklumkan mangsa dan menahan tiga saksi termasuk seorang wanita bagi membantu siasatan.

“Soal siasat terhadap salah seorang saksi memaklumkan mangsa disimbah dengan minyak petrol dan dibakar dengan pemetik api oleh seorang lelaki dikenali sebagai Karim.

“Punca kejadian dipercayai kerana mangsa selalu mabuk dan membuat kacau menyebabkan suspek tidak berpuas hati terhadapnya,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan pihak forensik di lokasi kejadian menemui tompokan kesan kebakaran dan minyak petrol.

“Pihak kami akan meneruskan siasatan kes berkenaan memandangkan kejadian berlaku di kawasan Tun H.S Lee iaitu di daerah Dang Wangi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Februari 2018 @ 9:24 PM