Hael Hussaini muncul juara AJL32. FOTO HALIMATON SAADIAH SULAIMAN
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


ANUGERAH Juara Lagu 32 (AJL32) yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, Ahad lalu berjaya mengekalkan kedudukan program nombor satu di Malaysia dengan menarik 6.1 juta penonton.

Menurut sumber Nielsen, program siaran TV3 itu juga berjaya mendominasi separuh penonton sebanyak 56.3 peratus penguasaan mengatasi pelbagai program menarik yang turut bersiaran pada masa dan waktu sama di stesen televisyen lain.

Platform penstriman video pertama dan nombor satu di Malaysia, tonton, yang menyiarkan acara gilang gemilang AJL32 secara langsung dan berdefinisi tinggi (HD) turut mencatatkan peningkatan dua kali ganda berbanding tahun lalu.

Ia berjaya menarik 350,000 pelawat (peningkatan unjuran lebih daripada 121%) berbanding 2017 dicatatkan menonton menerusi portal video rasmi tonton (www.tonton.com.my), tonton Facebook (Live) serta aplikasi tontonmy di tablet dan telefon bimbit (android/iOS).

Mengikut statistik atas talian (online), #AJL32 digunakan sebanyak 3.5 juta di laman sosial (Facebook, Instagram & Twitter) sepanjang tiga jam program AJL32 bersiaran langsung.

Malam AJL32 menyaksikan lagu Jampi dendangan penyanyi Hael Husaini bergelar juara menewaskan calon lain.

Tempat Kedua ialah lagu Sejati dendangan Azmi Caliph Buskers dan nyanyian asal Faizal Tahir dan tempat ketiga ialah lagu Tergantung Sepi dendangan penyanyi Haqiem Rusli.

Bagi kategori Vokal Terbaik pula dimenangi lagu Aku Cinta, dendangan Syamel dan Ernie Zakri dan kategori Persembahan Terbaik yang dibawakan oleh Samsung dimenangi Amboi dendangan Altimet.

Tidak ketinggalan, kategori Anugerah Penyanyi Pilihan Samsung pula berpihak kepada lagu Bayang dendangan Khai Bahar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Februari 2018 @ 10:39 PM