GAMBAR hiasan
Hazsyah Abdul Rahman


HANYA kerana marah ‘barisannya’ dipotong ketika menimbang buah kelapa sawit, lelaki membunuh pemandu lori di kilang kelapa sawit, berdekatan Kampung Ulu Sapi, Jalan Sapi-Nangoh, Beluran, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 11 pagi itu, mangsa, Baso Padue Paddo, 30, meninggal dunia akibat ditikam tiga kali di lengan, belakang dan dada kanan.

Difahamkan, suspek berusia 26 tahun yang juga pemandu jentera berat pengangkut buah kelapa sawit, ditahan beberapa jam kemudian dalam ladang kelapa sawit selepas menyerah diri kepada polis.

Ketua Polis Daerah Beluran Superintendan V Shivananthan berkata, hasil siasatan awal mendapati berlaku pertelingkahan antara mangsa dan suspek kerana memotong barisan untuk menimbang buah kelapa sawit namun berjaya dileraikan orang ramai, kira-kira 11 pagi pada hari sebelum itu.

“€œKemudiannya, pada pagi semalam suspek mengintai mangsa di lokasi sama kerana tahu mangsa akan datang di situ untuk menghantar buah kelapa sawit.

“Suspek dilaporkan turut membawa senjata tajam dipercayai pisau yang diselitkan di pinggang.

“Sejurus mangsa tiba, suspek menegur lalu berlaku pertengkaran antara mereka.

“Suspek kemudiannya menikam tangan kiri mangsa. Mangsa melarikan diri namun suspek terus mengejar.

“Ketika mengejar mangsa, suspek sekali lagi menikam belakang pemandu lori berkenaan sehinggalah lelaki itu terjatuh. Dalam keadaan mangsa terbaring, suspek sekali lagi menikam mangsa di dada kanan sebelum melarikan diri ke kawasan ladang sawit," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Shivananthan berkata, mangsa kemudiannya dikejarkan ke Klinik Kesihatan Telupid namun disahkan meninggal dunia dipercayai akibat tikaman di dada.

“Pada masa sama, polis menerima laporan dan bergegas mengesan suspek terbabit yang dipercayai melarikan diri ke dalam ladang kelapa sawit berdekatan.

“Sehingga 4.30 petang, semalam, suspek datang menyerah diri dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran untuk siasatan lanjut,” katanya.

Katanya, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2018 @ 9:46 AM