Keadaan tiga kenderaan yang rosak teruk selepas terbabit dalam kemalangan maut di Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli. FOTO Ihsan Pembaca


EMPAT maut manakala tujuh lagi cedera termasuk dua parah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 45.4 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli di Gerik, tengah hari tadi.

Kejadian jam 1 tengah hari itu membabitkan sebuah Perodua Kenari, Audi dan Nissan Frontier.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Mat Isa berkata, mangsa yang maut adalah pemandu dan penumpang pikap terbabit, Rosli Zakaria, 54, berasal dari Kampung Changgai, Pasir Putih, Kelantan, bersama penumpang yang juga seorang lelaki kurang upaya (OKU) yang belum diketahui identitinya.

Katanya, turut maut, dua penumpang Audi, Che Wan Teh Abdul Aziz, 54, dan Muhammad Khairul Khawrizmie Azizan, 17, masing-masing berasal dari Kampung Durian Burong dan Bandar Perdana, Kedah.

"Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku membabitkan tiga kenderaan iaitu kereta Kenari dan Frontier yang datang dari arah Gerik menuju Jeli manakala kereta Audi datang dari arah Jeli menuju Gerik.

"Apabila tiba di tempat kejadian iaitu laluan selekoh menurun bukit, dipercayai kereta Audi terbabit telah bergesel dengan kereta Kenari yang datang dari arah Gerik mengakibatkan kereta Kenari berkenaan berpusing dan terbabas ke bahagian kanan jalan ke arah Jeli.

"Akibat geselan itu, kereta Audi pula telah masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan Nissan Frontier. Akibat dari kemalangan itu, pemandu dan penumpang Frontier serta dua penumpang Audi meninggal dunia di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ismail berkata, dua yang parah iaitu penumpang Frontier dikenali sebagai Che [email protected] Che Awang, 45, dan pemandu Audi, dikenali Azizan Desa, 60, dihantar ke Hospital Taiping (HT) untuk rawatan lanjut.

Katanya, pemandu kenari yang juga wanita berusia 25 tahun serta dua penumpang kenderaan itu, iaitu lelaki berusia 19 tahun dan seorang wanita berusia 22 tahun dan seorang lagi penumpang Audi iaitu remaja lelaki berusia 14 tahun hanya cedera ringan.

Beliau berkata mangsa yang cedera ringan dihantar ke Hospital Gerik manakala bedah siasat terhadap mangsa dijalankan di hospital sama jam 6 petang tadi.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.45 tengah hari itu, maklumat awal melaporkan dua mangsa maut di tempat kejadian manakala dua lagi ketika menerima rawatan di Hospital Gerik.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gerik, Azizul Aswad Asaris berkata, kemalangan berlaku berhampiran pejabat Jabatan Perikanan Tasik Banding.

"Kami menerima panggilan kecemasan pada jam 12.56 tengah hari dan sebaik tiba mendapati dua daripadanya sudah meninggal dunia.

"Sehingga jam 4.15 petang ini, kami masih lagi melakukan operasi menyelamat di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2018 @ 5:12 PM