Mohd Hasbi Sidek dan Kalbana Perimbanayagam


MAYAT lelaki dipercayai seorang daripada lima individu dikhuatiri lemas di Sungai Gasi berhampiran Kem Paya Jaras di Sungai Buloh, ditemui 8.40 malam tadi.

Mayat itu ditemui kira-kira tujuh kilometer dari lokasi mereka dilaporkan dihanyutkan kepala air, kira-kira 5 petang tadi.

Dalam kejadian itu, lima individu dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus sungai ketika memancing.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan S Somu berkata, pihaknya menerima tiga laporan dibuat tiga mangsa lelaki berusia 30 hingga 50 tahun yang terselamat dalam kejadian itu.

Katanya, dua daripada mereka memaklumkan mereka pergi ke lokasi itu bersama isteri masing-masing berusia 30 dan 48 tahun serta dua rakan yang juga anak beranak berusia 37 dan 14 tahun sebelum dihanyutkan arus deras sungai berikutan air pasang.

"Pada masa sama, seorang lelaki Indonesia yang turut terselamat memaklumkan seorang rakannya hilang dalam kejadian itu," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Somu berkata, berdasarkan maklumat awal pihaknya dimaklumkan ada beberapa kumpulan lain pemancing yang berada di lokasi berkenaan.

"Kami dimaklumkan ada sekumpulan pemancing warga asing juga berada di lokasi berkenaan dan dipercayai turut dikhuatiri lemas.

"Kerja mencari dan menyelamat dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor giat dijalankan untuk mengesan mangsa," katanya.

Berita berkaitan:

Terjun sungai, cuba selamatkan isteri

2 wanita antara 5 dikhuatiri lemas

7 pemancing dikhuatiri lemas

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Februari 2018 @ 10:34 PM