TANIA Hudson. FOTO Nurul Shafina Jemenon
Amirul Haswendy Ashari
haswendy@hmetro.com.my

Selepas filem Abang Long Fadil 2 dua tahun lalu, Tania Hudson dilihat mula konsisten dalam bidang lakonan.

Sebelum itu, dia hanya sesekali berlakon dan pernah hampir tujuh tahun mendiamkan diri kerana merawat penyakitnya, arteriovenous malformation (AVM) yang menyerang otak.

“Ia bergantung kepada rezeki juga. Ada orang cepat saja dapat tawaran berlakon. Susah juga nak cakap pasal hal ini sebab ketika filem Abang Long Fadil 2 dulu pun saya tak sangka.

“Ada orang kata saya terlalu ‘low profile’ (merendah diri), tapi bagi saya ia berhasil dalam dua cara. Tidaklah sampai merayu untuk dapatkan tawaran lakonan,” katanya ketawa.

Menurutnya, dia tidak aktif bukan sebab tiada tawaran berlakon, sebaliknya adalah pilihan sendiri ditambah pula tidak konsisten.

Adik kepada pelakon dan model, Natasha Hudson ini mengakui pernah sesekali ke sesi uji bakat yang diadakan syarikat produksi.

Katanya, jika tidak berjaya sekalipun, aktiviti itu tetap memberi pengalaman berguna buat pelakon yang kurang mendapat tawaran.

Dia akui budaya uji bakat tidak terlalu banyak di Malaysia kerana selalunya penerbit dan stesen TV sudah mempunyai pilihan mereka sendiri.

“Saya tidak pernah terfikir menjadi pelakon sebab saya sebenarnya seorang yang pemalu, tetapi kakak (Natasha) cadang sertai bidang peragaan untuk membina keyakinan diri.

“Saya ikutkan saja kerana dia lebih berpengalaman apabila sudah menjadi model sejak remaja,” katanya yang pertama kali menjalani sesi fotografi pada usia 18 tahun untuk sebuah majalah.

Dia turut mengimbau semula saat ditawarkan berlakon pada awal 2005.

Katanya, tawaran itu datang daripada bapa seorang rakannya yang juga pengarah drama.

Ketika ditawarkan, dia hanya ketawa dan tidak percaya mampu melakukannya. Namun, pengarah terbabit meyakinkan Tania mampu melakukannya.

Pada tahun sama, bermulalah langkah pertamanya berlakon dalam dua telefilem bersama Shaheizy Sam.

“Semuanya berlaku sekadar suka-suka. Apabila ingatkan semula, tak percaya kini saya serius dalam bidang ini,” katanya.


TANIA Hudson. FOTO Nurul Shafina Jemenon

Lakonan dikritik

Tanpa berselindung, Tania pernah membaca reviu filem yang mengkritik lakonannya yang didakwa ‘kayu’ dan tidak mencapai ‘standard’ pelakon berpengalaman.

Tidak malu dengan kritikan itu, Tania sedar ia bertitik tolak daripada kurang berlakon dalam tempoh hampir dua tahun.

“Hampir dua tahun tidak berlakon, saya sedar isu itu akan muncul dan tidak buat yang terbaik ketika filem Abang Long Fadil 2 arahan Syafiq Yusof ditayangkan.

“Seperti saya katakan, saya tidak konsisten sebelum ini dan ia memang akan memberi kesan kepada lakonan. Ia tentu berbeza jika saya kerap berlakon dari semasa ke semasa,” katanya.

Tania optimis dengan kritikan diberi dan menganggap ia satu proses pembelajaran supaya dapat diperbaiki dari semasa ke semasa.

Katanya, Abang Long Fadil 2 banyak memberi semangat untuk dia kembali konsisten dan setiap lakonan selepas itu memberi cabaran berbeza.

Melalui pengalaman berlakon drama dan filem, pelakon digelar ‘kayu’ pun boleh berubah menjadi lebih baik.

Tania yang bakal muncul dengan filem KL Special Force pada 8 Mac depan berkata, dia teruja diberi peluang sekali lagi oleh Syafiq untuk berlakon di bawah arahannya.

Dia berharap mendapat maklum balas lebih baik berbanding dulu kerana dari segi aksi yang dilakukan memang jauh berbeza.

Antara babak aksi yang tidak dapat dilupakan ketika penggambaran filem itu ialah apabila badannya diletak mercun yang kemudian diletupkan dari jarak jauh.

Begitu juga adegan berlari ketika babak letupan hingga dia mengalami calar-balar akibat terkena serpihan letupan.

Antara pelakon KL Special Force ialah Datuk Rosyam Nor, Syamsul Yusof, Fattah Amin, Mustaqim Bahadon, Mahmud Ali Bashah dan Ramona Zamzam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2018 @ 4:32 AM