AZLIA (kanan) dan Noradillina raih tiga emas. FOTO Izairi Shamsudin
Azlan Muhammad Zain

Nilai: Atlet paracycling, Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais bersama pelumba pilot, Noradillina Adilla J Sam kini mengintai kejohanan lebih besar selepas cemerlang meraih tiga emas pada Kejohanan Lumba Para Asia di Velodrom Nasional, semalam.

Selepas dua emas dalam dua acara sejak dua hari lalu, gandingan itu melengkapkan kejayaan dengan mengungguli ujian masa satu kilometer tandem (B) wanita dengan masa satu minit 15.177 saat.

Ia adalah rentak positif yang dipamerkan gandingan itu selepas cemerlang meraih empat emas pada Sukan Para ASEAN tahun lalu.

“Pada kejohanan ini, kami melakar rekod peribadi terbaik dalam setiap acara dan ia dilihat sebagai penanda aras dengan misi untuk disenaraikan ke kejohanan lebih besar.

“Kami tidak mahu hanya gah dan berasa selesa bertanding di tempat sendiri. Kami mengharapkan cabaran yang lebih besar selepas ini,” kata Noradillina.

Turut cemerlang adalah Aiman Asyraff Ahmad Bajuri bersama pelumba pilot, Mohd Faizal Mohamed Noh yang meraih emas acara ujian masa satu kilometer tandem (B) lelaki dengan masa 1:04.480s.

Trio pecut campuran paracycling diketuai Mohd Najib Turano, Ahmad Tarmizi Zuhairi dan Muhammad Adi Raimie Amizazahan pula meraih emas pecut berpasukan dengan masa 52.591 saat.

Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin turut cemerlang meraih emas acara ujian masa satu kilometer kategori C1-C3 dengan masa 1:17.989s.

Ia disusuli kejayaan Zuhairi Ahmad Tarmizi yang melakar 1:07.973s bagi kategori C4-C5 dalam acara ujian masa satu kilometer.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2018 @ 4:56 AM