KANAK-KANAK yang terkorban di Arbin, Ghouta Timur dekat Damsyik akibat bedilan tentera kerajaan Syria. FOTO AFP
Reuters

Beirut: Perang di Syria semakin buruk apabila kumpulan bersenjata pro kerajaan tiba di Afrin dekat sempadan Turki membawa kemungkinan perang lebuh besar bakal berlaku di utara Syria itu.

Kini, perang di Arfin membabitkan pemberontak Syria yang menyokong Turki, gerila Kurdish dan kumpulan bersenjata pro kerajaan sokongan Iran dan Russia yang membantu gerila Kurdish. Pemberontak Syria pula disokong Amerika Syarikat dan sekutu Eropahnya.

Berikutan kedatangan tentera pro kerajaan itu, artileri Turki membedil Arfin tanpa henti sejak kelmarin.

Ankara melancarkan operasi ketenteraan bagi menghalau gerila YPG Kurdish dari Arfin yang didakwanya ada kaitan dengan pemberontakan dalam Turki dan mengancam keselamatan sempadannya.

Ibrahim Kalin iaitu jurucakap presiden Turki, berkata di Ankara, tentera pro kerajaan Syria berundur dari Arfin akibat bedilan artileri yang menghujani bandar itu.

“Akibat yang lebih buruk akan berlaku jika Syria menghantar tentera atau gerila tajaannya untuk berperang di Arfin,” katanya.


KEPULAN asap akibat serangan udara tentera kerajaan Syria di Hamouria, Ghouta Timur. FOTO AFP

Pada masa yang sama, jumlah korban di Ghouta Timur dekat Damsyik meningkat kepada lebih 250 orang semalam, berbanding 190 mangsa kelmarin akibat bedilan hebat gerila pro Presiden Bashar al-Assad dan tentera kerajaan disokong Russia sejak Isnin lalu.

Dalam serangan semalam, dianggarkan 106 orang awam, termasuk 19 kanak-kanak terbunuh.

Pertubuhan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria berpangkalan di London menyatakan serangan udara, bedilan roket dan artileri berterusan di Ghouta, wilayah terakhir masih dikuasai pemberontak.

Laporan turut menyatakan sebuah hospital turut terkena bedilan dua kali menyebabkan ia tidak lagi berfungsi.

Ia adalah hari kedua jumlah korban orang awam melebihi 100 orang selepas 127 terbunuh kelmarin.

Di Geneva, agensi kebajikan kanak-kanak PBB menyatakan kemarahan terhadap jumlah kanak-kanak yang terkorban.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2018 @ 6:15 AM