RAMLI memberi makan rusa yang diternak di ladangnya. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli

Hulu Terengganu: Pengorbanan seorang lelaki menggunakan wang simpanannya berjumlah RM40,000 untuk menternak rusa berbaloi apabila ternakannya mendapat sambutan menggalakkan.

Ramli Yusof, 43, dari Kampung Tok Lawit, Kuala Berang berkata, kebanyakan rakannya membela lembu dan kambing, tetapi dia memberanikan diri menternak rusa.

“Keputusan saya menternak rusa kira-kira lima tahun lalu dipersoalkan banyak pihak kononnya permintaan terhadap ternakan itu tidak setanding ternakan lain.

“Bagaimanapun, selepas tiga tahun menternak rusa baka timor rensis dan Axis-axis, saya mampu menjana pendapatan yang memuaskan.

“Sejak Januari hingga sekarang, 28 rusa ternakan saya terjual manakala 10 ekor lagi sudah ditempah pelanggan dari Kemaman dengan anggaran kos RM35,000 ,” katanya.


RUSA baka timor rensis yang diternak Ramli. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli

Ramli berkata, dia menjual 98 rusa tahun lalu dan haiwan berkenaan dijual pada harga antara RM7,000 dan RM11,000 sepasang mengikut jenis, usia dan saiz.

“Saya rasa sangat seronok menternak rusa kerana haiwan ini mendapat permintaan yang sangat menggalakkan, malah kos makanannya juga murah berbanding ternakan lain seperti lembu dan ayam.

“Rusa diberi makan hampas soya, batang sagu, daun kelapa sawit atau rumput dan dianggarkan kos sehari untuk makanan bagi seekor rusa hanyalah RM1,” katanya.

Menurut Ramli, menternak rusa memberi banyak kelebihan berbanding ternakan lain kerana haiwan berkenaan sangat ia tahan lasak daripada serangan penyakit.


RAMLI memberi makan rusa yang diternak di ladangnya. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli

Katanya, ketika ini dia mempunyai 40 rusa, namun jumlah itu sentiasa berubah mengikut permintaan pelanggan.

“Selain menjual pembaka, saya juga membekal anak rusa timor rensis yang dijual dengan harga RM3,000 sepasang.

“Rusa bagi tujuan penyembelihan dijual pada harga antara RM4,500 hingga RM6,000 seekor,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2018 @ 6:33 AM