KEADAAN rumah yang tidak pernah diduduki dan terbiar di Bandar Springhill, Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria
KEADAAN rumah yang tidak pernah diduduki dan terbiar di Bandar Springhill, Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


“DULU inilah rumah contoh yang paling cantik tetapi sekarang seperti rumah hantu," kata penduduk, Aishah Talib, 49, yang tinggal bersebelahan rumah yang tidak pernah diduduki pemiliknya di Bandar Springhill.

Katanya, rumah berkenaan sudah dibeli ketika awal pembukaan perumahan itu kira-kira 15 tahun lalu tetapi tidak pernah diduduki.

"Hairan juga saya kerana tuan rumah ini tidak mahu menjual atau menyewakannya sejak dibina 15 tahun lalu.

"Paling saya bimbang ialah pokok hiasan yang semakin membesar di laman tepi rumah itu tumbang atau dahannya patah. Saya difahamkan bahagian dalam rumah itu sudah banyak yang reput dimakan anai-anai," katanya ketika ditemui hari ini.

Katanya, pemilik rumah berkenaan tinggal di Johor Bahru dan datang ke situ beberapa kali sahaja sejak beberapa tahun lalu.

"Dia hanya melihat keadaan rumah dari luar sahaja dan tidak masuk ke dalam rumah.

"Ada juga yang bertanya kepada saya sama ada tuan rumah itu nak jual atau menyewakannya, tapi saya sendiri tidak tahu.

"Saya takut juga kalau ada binatang liar seperti ular atau lipan membiak di situ jika keadaan ini dibiarkan.

"Ada juga yang menegur kami kerana tidak membersihkan kawasan di rumah sebelah tetapi apa kami boleh buat sedangkan pagarnya pun berkunci. Kanak-kanak di taman ini menggelarkan rumah ini 'rumah hantu," katanya.

Sementara itu Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Zamri Mat Kasim berkata, pihak MPPD akan mengeluarkan notis untuk pemilik rumah agar dibuat pembersihan.

"Jika ingkar notis, pemilik akan dikenakan kompaun namun, masalah timbul apabila pemilik rumah itu gagal dikesan dan cukai pintu pun tidak pernah dibayar.

"Pihak kita (MPPD) terpaksa melantik syarikat SWMCorp (SWM) untuk membersihkannya kerana ia membahayakan penghuni lain di rumah teres setingkat di kawasan perumahan tersebut," katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2018 @ 11:11 AM