Khairul Najib Asarulah Khan
news@nstp.com.my


“SEPATUTNYA ayah menikahkan saya esok (hari ini), namun tidak kesampaian kerana Allah SWT telah menjemputnya terlebih dahulu," kata Nur Faizah M Rosli, 30, mengenai ayahnya, M Rosli Alias, 54 yang meninggal dunia semalam akibat serangan jantung.

Nur Faizah yang juga anak sulung daripada enam beradik berkata, ayahnya sudah merancang untuk menikahkannya sendiri dengan bakal suami, Muhamad Ridzuan Mohd Sidek, 30, sejak tahun lalu, namun hasrat itu tidak sempat ditunaikan Allahyarham.

Dia berkata, ayahnya disahkan menghidap sakit jantung sejak Oktober tahun lalu, dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, minggu lalu selepas tahap kesihatannya merosot.

"Semasa ayah membuat rawatan susulan di IJN Selasa lalu, doktor menasihatkan dia ditahan wad untuk rawatan lanjut disebabkan tahap kesihatan yang lemah.

"Semalam kesihatan ayah kelihatan semakin baik dan dia sepatutnya pulang pagi tadi untuk membuat persediaan bagi menikahkan saya. Bagaimanapun, pagi tadi doktor mengesahkan dia sudah meninggal dunia.

"Walaupun dia pergi sehari sebelum hari pernikahan saya, kami sekeluarga reda dengan takdir Allah SWT," katanya ketika ditemui selepas majlis pengebumian di Makam Tuan Haji Said, Sikamat, di sini, malam tadi.

Allahyarham yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Seremban, meninggal dunia pada 11.50 pagi semalam di sisi isterinya, Roslinda Abdullah, 48.


NUR Faizah (duduk kanan) yang bakal bernikah esok hari merupakan anak kepada Setiausaha UMNO Bahagian Seremban, M Rosli Alias yang meninggal dunia akibat sakit jantung hari ini, sebak selepas perkebumian ayahnya di tanah perkuburan Makam Haji Said, Seremban. FOTO Adzlan Sidek

Terdahulu, jenazah Allahyarham tiba di rumahnya di Taman Panchor Jaya pada 7 malam sebelum jenazahnya disembahyangkan di Masjid Taman Panchor Jaya, di sini, dengan diimamkan Ketua UMNO Bahagian Seremban, Datuk Abu Ubaidah Redza.

Nur Faizah berkata, majlis pernikahannya akan tetap dilangsungkan hari ini dengan sederhana dan akan turut dilangsungkan bersama majlis tahlil dan kenduri arwah.

"Buat masa ini, kemungkinan saya akan dinikahkan oleh adik, Khairil Aziz M Rosli, 25 di rumah lepas Asar," katanya.

Sementara itu, Ketua Wanita Umno Bahagian Seremban, Datuk Samsiah Samsudin berkata, kali terakhir beliau bertemu arwah pada Isnin lalu ketika mesyuarat Wanita Umno Bahagian Seremban iaitu sehari sebelum arwah dimasukkan ke IJN.

"Pada hari itu, arwah kelihatan seperti biasa dan tidak menunjukkan sebarang perubahan. Arwah seorang yang perahsia, walaupun sakit beliau tidak pernah bercerita dan komited dengan kerjanya.

"Kehilangan arwah sangat dirasai kerana beliau seorang yang baik dan peramah selain aktif dengan kerja parti," katanya.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan enam anak yang berusia 11 hingga 30 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2018 @ 12:13 PM