BUDAK itu dibawa ke hospital dengan jarum kait terjulur dari mulutnya. - Agensi
BUDAK itu dibawa ke hospital dengan jarum kait terjulur dari mulutnya. - Agensi

Beijing: Hanya beberapa hari selepas kisah budak ditusuk kepala dengan kayu penyepit, seorang lagi budak lelaki nyaris maut selepas mulutnya tertusuk jarum kait sepanjang hampir 14 sentimeter (cm) hingga menembusi kerongkong dan saraf tunjangnya.

Dalam kejadian di rumahnya di Bijie, budak dikenal pasti bernama Xiao Yu, 6 tahun, terselamat selepas beberapa doktor berjaya mengeluarkan jarum berkenaan, lapor media tempatan.

Xiao Yu dilaporkan bermain dengan jarum kait neneknya yang dimasukkan ke dalam mulut sebelum tersandung dan terjatuh menyebabkan alat itu menembusi kerongkongnya.

Dia dikejarkan ke hospital di Bijie sebelum dirujuk ke hospital kerajaan di wilayah Guizhou.

Dr Yang Xiuhai yang merawatnya berkata, nyawa kanak-kanak itu dalam bahaya memandangkan jarum itu turut terkena bahagian tengkorak.

Susulan itu pihaknya terus membuat keputusan melakukan pembedahan untuk mengeluarkannya.

Mereka melakukan endoskopi bagi mengeluarkan jarum berkenaan disusuli pembedahan tiga jam untuk merawat membran yang rosak pada saraf tunjangnya.

Kanak-kanak itu kini beransur pulih di hospital dan boleh menggunakan tangan kanannya serta berdiri dengan bantuan ibu bapanya, lapor Guizhou Urban Newspaper. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2018 @ 4:44 AM