JAMALUDDIN Malek, 66 sebak melihat wajah anaknya di salinan fotostat kad pengenalan selepas ditahan pihak berkuasa Nepal kerana menjadi keldai dadah. Gambar kecil, Marina Jamaluddin. FOTO Khairul Najib Asarulah Khan
JAMALUDDIN Malek, 66 sebak melihat wajah anaknya di salinan fotostat kad pengenalan selepas ditahan pihak berkuasa Nepal kerana menjadi keldai dadah. Gambar kecil, Marina Jamaluddin. FOTO Khairul Najib Asarulah Khan
Khairul Najib Asarulah Khan


“SAYA merayu kerajaan Malaysia dapat membawa pulang anak saya yang kini meringkuk di penjara Nepal atas kesalahan menjadi keldai dadah," rayu Jamaluddin Malek, 66, bapa kepada Marina Jamaluddin, 39 yang ditahan pihak berkuasa di sana selepas didapati bersalah memiliki dadah tiga tahun lalu.

Jamaluddin berkata, anak perempuannya itu ke Nepal pada pertengahan 2015 bersama suaminya dan anak lelaki mereka yang berusia 11 tahun ketika itu untuk bercuti.

Katanya, selepas beberapa hari di sana Marina meminta suaminya bersama anaknya untuk pulang ke Malaysia terlebih dahulu disebabkan dia ada urusan yang perlu diselesaikan.

"Namun selang beberapa hari selepas itu dia ditahan pihak berkuasa Nepal apabila menemui sejumlah dadah bersamanya menyebabkan dia dikenakan hukuman penjara selama 20 tahun," katanya ketika ditemui di Seremban, malam tadi.

Pada 6 April 2015, Harian Metro melaporkan Marina ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan (TIA), Nepal selepas didapati cuba menyeludup kokain seberat 11 kilogram.

Dia ditahan kira-kira 7 malam ketika dalam perjalanan ke Itali melalui Kathmandu, Nepal, dengan menyembunyikan dadah itu di dalam lima komputer riba.

Bekalan dadah itu dipercayai diambil di Brazil untuk diseludup ke Itali dengan menggunakan laluan Nepal.

Jamaluddin berkata, sejak anaknya ditahan dia berusaha kumpul duit bagi melawatnya termasuk meminta sumbangan daripada kenalan.

"Selepas tiga tahun, barulah duit mencukupi dan saya dapat melawatnya pada awal bulan ini. Saya dapati keadaannya terlalu teruk dan menyayat hati selain kelihatan lemah.

"Saya tidak sanggup melihat keadaan anak saya seperti itu dan dia turut sempat merayu supaya dapat dipindahkan ke negara ini secepat mungkin. Marina juga amat rindukan anak dan suami serta ibunya," katanya.

Katanya, kini anaknya itu perlu menjalani baki hukuman penjara selama 17 tahun lagi dan sepanjang tempoh itu pelbagai perkara boleh berlaku.

"Sehubungan itu, saya merayu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya membantu membawa pulang anak saya menjalani hukuman di negara ini secepat mungkin.

"Saya tidak tahu kepada siapa lagi yang perlu merayu meminta tolong," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2018 @ 5:23 PM