FOTO terakhir Noor Atifah (kiri) bersama ibunya Noor Atikah sebelum meninggal dunia. FOTO Ihsan Pembaca
Amirul Aiman Hamsuddin


“MAK Ngah tahu Ifa (Noor Atifah) penat dan tak kuat lawan sakit. Pergilah sayang.. .pergilah berehat selamanya. Terima kasih Ifa tunggu Mak Ngah datang semalam.”

Begitu luahan Farizatul Shuhadah Ishak, 23, ibu saudara kepada Noor Atifah Abi Suffian, 2, menerusi akaun laman sosial Facebook miliknya, Sue Deq.

Noor Atifah meninggal dunia pada 7 pagi tadi ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.

Kanak-kanak berkenaan menghembuskan nafas terakhir selepas tiga hari bertarung nyawa kerana 95 peratus badannya cedera disambar api dalam kejadian di rumahnya di Parit 12, Sungai Nibong, Sungai Besar, Khamis lalu.

Dalam kejadian itu, ibu mangsa Noor Atikah Ishak, 25, dan bapa saudaranya Shahrul Nizam, 20, masing-masing turut melecur pada kedua-dua tangan dan kaki.

Ketika kejadian, semua mereka bersama ahli keluarga lain menyiapkan juadah makan tengah hari.

Kejadian dipercayai berlaku ketika Noor Atikah cuba menyalakan api menggunakan petrol untuk membakar ikan di halaman rumahnya.

Bagaimanapun, api marak dan menyambar mangsa selepas Noor Atikah tidak menyedari kehadiran anak sulung itu yang berada di belakangnya.

Mangsa dikejarkan ke Klinik Kesihatan Simpang Lima, dan dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) sebelum dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh.

Noor Atikah dan Shahrul Nizam yang cedera kerana cuba menyelamatkan mangsa dengan terjun dalam parit di belakang rumah terpaksa menerima rawatan di HTAJ.

Farizatul dalam status yang dimuat naiknya semalam, memberitahu dia sekeluarga reda dengan pemergian Noor Atifah yang bertarung nyawa melawan kesakitan.

“Allah lebih sayangkan dia. Siapa dah tahu tolong sampaikan kepada yang mengenali kami sekeluarga.

“Terima kasih atas doa kalian. Al-Fatihah untuk anak syurga ini,” katanya yang turut mengakui dirinya tidak tabah seperti Noor Atifah mengharungi dugaan berkenaan.

Sementara itu, bapa mangsa, Abi Suffian Abdul Mutalip, 34, berkata dia terkilan dan terharu apabila mengetahui mangsa disambar api dan pada masa sama isterinya pula disahkan hamil lima minggu.

“Saya mengetahui berita itu ketika isteri dirawat di HTAJ, dan dalam masa sama turut berdoa agar Noor Atifah segera sembuh.

“Walaupun isteri melecur pada kedua tangan dan kaki ketika cuba menyelamatkan Noor Atifah, tetapi kandungannya berada dalam keadaan selamat,” katanya.

Menurutnya, Noor Atifah sebelum ini pernah menyuarakan keinginannya memiliki adik dan tidak mengetahui Noor Atikah sedang hamil.

“Arwah sangat suka dengan bayi. Dia begitu rapat dengan anak rakan saya sehingga setiap kali mereka (rakan) bertandang ke rumah, arwah begitu ceria dapat bermain bersama,” katanya.

Katanya, arwah seorang yang kuat dan cekal walaupun badannya melecur, dan hanya mengadu sakit sebanyak dua kali ketika diusap kepalanya.

“Malah, arwah juga sempat bertemu ibunya yang dipindahkan ke HTAJ sebelum dirujuk ke Hospital Sungai Buloh pada Jumaat lalu.

“Lebih mengharukan, saat melihat arwah menggerakkan jari kanan dan kedua belah tangan selepas saya membisik di telinganya mengatakan ibunya dan Tok Wan iaitu datuknya datang menziarahinya,” katanya.

Jenazah Noor Atifah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Nibong.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2018 @ 10:42 PM