Nurul Hidayah Bahaudin


LELAKI cedera di bahagian pinggang selepas kren dipandunya tumbang di Jalan Bunga Anggerik, Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Ampang, kira-kira 9 pagi tadi.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba Penyelamat Selangor, Alimaddia Bukri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 10.12 pagi.

“Seramai enam anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Ampang dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kami mendapati satu kren tumbang dan melintang di tengah jalan.

“Kejadian itu menyebabkan pemandu kren berkenaan, Azri Yahya, 36, cedera di bahagian pinggang dan dibawa ke Hospital Ampang untuk rawatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor Superintendan Azman Shari’at berkata, kejadian itu dipercayai berpunca daripada kren berkenaan yang hilang imbangan dan terjatuh di atas jalan.

“Kren yang terjatuh itu menyebabkan laluan utama MRR2 menuju ke Ampang terpaksa ditutup selepas ia merentangi dua daripada tiga lorong di jalan terbabit.

“Keadaan itu menyebabkan kesesakan teruk di lebuh raya berkenaan,” katanya.

Kesesakan lalu lintas sepanjang lebih empat kilometer berlaku dari arah Hulu Klang ke Ampang susulan kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2018 @ 12:36 PM
KREN tumbang berhampiran lebuhraya MRR2 menghala ke Ampang menyebabkan seorang lelaki mengalami kecederaan pada bahagian pinggang dan diberi rawatan di Hospital Ampang. FOTO Ihsan Bomba