Hana (kanan) masih belum terima sebarang bayaran daripada Watie. - FOTO ROSDAN WAHID
Sudirman Mohd Tahir


"SIAPA khianati siapa sekarang? Biarlah dia nak cakap apa sekalipun yang penting semua orang tahu siapa salah," kata Hana yang juga bekas anggota Elite mengenai kenyataan suami Watie, Joey yang mendakwa isterinya dikhianati.

Hana atau Norhanasafiza Masaat Adnan, 40, berkata, dia menganggap kenyataan Joey itu adalah biasa bagi orang yang ingin melepaskan diri daripada masalah.

"Saya baca kenyataan dibuat Joey selepas diberitahu rakan. Sejujurnya, saya tidak tahu nak beri reaksi apa. Kalau itu yang dia rasa, tidak mengapa.

"Biarlah orang di luar sana menilai sendiri. Saya cakap atau tidak pun, semua orang sudah tahu perkara sebenar.

"Apa yang penting saya ada segala bukti berkenaan perkara ini terutama punca saya diisytihar muflis. Malah, mahkamah juga sudah memerintahkan dia membayar jumlah tertentu. Namun, saya belum terima sebarang bayaran apa pun," katanya kepada Harian Metro.

Dalam masa sama, Hana juga tidak gentar dengan tindakan Watie yang difahamkan sudah memfailkan semula kes itu.

"Saya tahu dia nak lawan semula kes ini. Bagi saya, tidak mengapa dan teruskan. Kalau dia nak bawa ke Mahkamah Tinggi sekalipun, saya akan tunggu. Saya tidak takut pun. Saya yakin berada di pihak benar.

"Saya tidak sama sekali menghalang tindakannya. Saya ada bukti kukuh apa yang terjadi," katanya.

Watie diperintah Mahkamah Sesyen Selayang untuk membayar sejumlah RM112,000 pada Oktober tahun lalu selepas Hana memenangi kes terbabit.

Hana memenangi saman membabitkan Watie berhubung kegagalannya menyelesaikan bayaran pinjaman bank yang menggunakan namanya untuk membeli Toyota Wish pada 10 Mac 2015.

Mahkamah juga memerintahkan Watie untuk membuat bayaran permulaan sebanyak RM99,500 sebelum atau pada 30 November tahun lalu dan baki sebanyak RM2,500 sebulan bermula Januari sehingga Mei 2018 perlu dibayar secara berperingkat.

Berita berkaitan:

'Watie teraniaya'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2018 @ 12:57 PM