NORMAN Hakim. FOTO Adi Safri
NORMAN Hakim. FOTO Adi Safri
Hidayatul Akmal Ahmad


PELAKON Norman Hakim mengakui pernah berdepan saat berputus asa untuk meneruskan kehidupan disebabkan peristiwa hitam yang berlaku kepadanya antara 2008 dan 2009 lalu.

Berasakan dirinya sangat kerdil ketika itu, bapa kepada lima cahaya mata itu melangkah ke masjid dan menangis sehingga ditegur oleh seorang jemaah.

Jemaah berkenaan kemudian menasihatinya supaya kembali kepada ajaran al-Quran.

“Masjid Nurul Hidayah di Kampung Pandan menjadi rumah kedua saya ketika itu.

“Saya masih ingat, jemaah itu meminta saya mengamalkan ayat al-Quran yang bermaksud ‘Ya Allah kau angkatlah diri hambamu ini setaraf dengan darjat al-Quran’,” katanya.

Beliau berkongsi kisah itu pada majlis prapelancaran World #QuranHour dan Sinergi Media Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini.

Suami kepada pelakon Memey Suhaiza itu berkata, mendengar perkataan al-Quran saja sudah membuat dirinya ‘cair’ kerana segala jawapan bagi setiap masalah ada di dalamnya.

“Saya akui pernah melalui zaman yang agak ‘silam’ tetapi bersyukur kerana masih diberi peluang untuk kembali ke jalan yang diredai.

“Dulu, saya seakan terpaksa untuk melakukan solat sunat tetapi kini, daripada terpaksa ia menjadi ‘rindu’ jika tidak dilakukan,” katanya.

Selain itu, Norman yang juga duta baru bagi program itu, berkata acara itu menjadi platform terbaik untuk umat Islam untuk hadir memperbetulkan bacaan dan menilai keindahan tersembunyi di sebalik al-Quran.

“Kalau kita tahu hari ini adalah hari terakhir kita hidup di muka bumi ini, kita akan bertaubat dan bekerja keras untuk hari akhirat serta mendapatkan syafaat Rasulullah SAW,” katanya.

Norman turut mengajak bekas pelakon dan artis wanita yang sudah berhijrah untuk menyertai acara berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Februari 2018 @ 9:57 PM