HANA. FOTO Aswadi Alias.
Sudirman Mohd Tahir

Kemelut melanda dua bekas anggota Elite iaitu Hana dan Watie seperti tidak berkesudahan.

Bermula dengan Hana atau nama sebenarnya Norhanasafiza Masaat Adnan diisytihar muflis pada 2013 sehingga ke muka pengadilan, isu hutang masih juga belum selesai.

Walaupun Watie diperintahkan mahkamah membayar RM2,500 kepada Hana dan perlu dibuat pada setiap 25 haribulan sehingga jumlah RM604,861.78 selesai bermula November lalu, Hana mendakwa dia belum menerima sebarang bayaran.

Menerusi laporan akhbar ini semalam, Watie atau nama sebenarnya Norwati Sadali, 42, sudah membuat permohonan semula kes itu.

Hana yang juga ibu tunggal kepada dua anak berkata, dia sudah bersedia untuk berdepan dan lawan semula Watie kerana yakin dirinya di pihak benar.

“Saya percaya kepada pepatah ‘berani kerana benar’. Biarlah dia atau suaminya nak cakap apa pun atau ada pihak nak percayakannya, saya tetap tidak berganjak daripada pendirian. Kalau dia failkan semula kes, saya sudah bersedia untuk lawan.

“Saya ada segala bukti yang menyatakan dia memang berhutang sehingga menyebabkan saya diisytihar muflis . Jadi, saya tidak perlu takut. Apa saya perjuangkan ini bukan sebab duit semata-mata, tetapi kembalikan maruah dan harga diri,” katanya.

Hana berkata, disebabkan masalah itu dia terpaksa menanggung beban ditambah tidak dapat berjumpa kedua-dua anaknya, Aaron David Mann, 17, dan Alayna Daviella Mann, 16, kerana disekat untuk ke luar negara.

“Bertahun-tahun saya tanggung masalah ini disebabkan dia. Selain masih disekat ke luar negara, banyak lagi perkara saya tidak boleh buat di sini.

“Namun, saya bersyukur ada kawan dan keluarga yang membantu. Bagaimanapun, jika membabitkan isu ini, mereka juga tidak boleh berbuat apa-apa. Biarlah Allah yang menentukan segalanya,” katanya.

Hana yang kini bekerja di sebuah syarikat di Damansara mengakui terkilan dengan kenyataan suami Watie, Joey yang mendakwa dia mengkhianati Watie.

“Saya memang terkilan dengan apa yang dikatakan Joey, tetapi tidak mengapa, hanya Allah yang lebih tahu. Betul kata orang, individu yang berhutang ini sanggup buat apa saja cara untuk mengelak atau melepaskan diri.

“Saya yakin orang ramai yang mengikuti kes ini pun tahu siapa benar dan salah. Cukup untuk dikatakan, saya ada segala bukti. Soal dia kata saya mengkhianati isterinya, ini saya anggap fitnah. Siapa yang khianat siapa sebenarnya?” katanya.

Pada masa sama, Hana juga tegas untuk tidak memberi muka lagi kepada Watie sekiranya perbicaraan semula kes itu berpihak kepadanya.

“Saya sudah beri banyak kelonggaran kepadanya termasuk apa yang diperintahkan mahkamah. Selepas ini, saya tidak mahu belas kasihan lagi.

“Biar satu Malaysia tahu siapa dia sebenarnya. Bukan saja berhutang, dia juga ada meminjam barangan peribadi saya yang tidak pernah dipulangkan. Dengan apa yang dia buat, saya tidak halalkan dunia dan akhirat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2018 @ 5:29 AM