Helmy Abd Rahman


“KAMI dah berkawan lama, tak sangka dia sanggup buat macam ini," kata remaja yang mengalami 'mimpi ngeri' selepas diculik di Jalan Kamaruddin, Kuala Terengganu sebelum ditinggalkan bersendirian di tepi jalan di Marang, lebih 20 kilometer dari tempat kejadian, tengah malam semalam.

Dia yang hanya ingin dikenali sebagai Lin, 19, berkata, dia terpaksa menapak lebih sejam sebelum terjumpa pengawal keselamatan di Bukit Kor, Marang.

"Saya ditinggalkan di tempat tiada orang, gelap dan di tepi semak malah, dengar kata tempat itu ada harimau dan beruk liar.

"Mujur tiada apa-apa yang berlaku kepada saya. Bagaimanapun sampai sekarang saya masih menggigil dan trauma bila teringat diperlakukan begitu," katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui wartawan di rumahnya di Kampung Wakaf Che Kapor di sini, hari ini.


LIN (bukan nama sebenar) ditemubual oleh wartawan selepas menjadi mangsa culik oleh tujuh orang suspek di Kampung Wakaf Che Kapor, Kuala Terengganu. FOTO Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

Menurutnya, dia dan suspek mengenali satu sama lain lebih setahun lalu di laman sosial.

"Dia selalu datang ambil saya di rumah untuk keluar berjalan-jalan. Pendek kata, kami sangat akrab seperti adik-beradik," katanya.

Katanya, sebelum kejadian, dia dan dua rakan serta seorang lagi kenalan mengunjungi Ekspo Terengganu 2018 sebelum ke Pantai Batu Buruk di sini.

"Dalam perjalanan pulang ke rumah, tiba-tiba pemandu kereta yang saya naiki membelok ke Jalan Pusara sebelum dihadang kereta Grand Livina.

"Ketika dua perempuan keluar dari kereta itu (Grand Livina), saya nampak mereka memakai penutup muka menarik saya hingga terjatuh.

"Di dalam kereta terdapat dua lelaki yang juga memakai penutup muka. Seorang daripada mereka kemudian tutup muka dan ikat tangan serta kaki saya.

"Walaupun memakai penutup muka, saya boleh cam (suspek). Lagipun, saya cuma bergaduh dengan dia saja di Facebook," katanya.


Status yang dimuat naik oleh suspek di laman Facebook sebelum menjadi pergaduhan dan menjadi mangsa culik oleh tujuh orang suspek di Kampung Wakaf Che Kapor, Kuala Terengganu. FOTO Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

Ditanya punca perbalahan antara mereka, Lin berkata, ia disebabkan satu laporan polis yang dibuat kakaknya kerana suspek membuat fitnah terhadap keluarganya.

"Bukan setakat mengata saya, dia (suspek) juga melemparkan fitnah terhadap kakak, ibu dan bapa saya.

"Bila kakak buat laporan polis kira-kira dua minggu lalu, dia tak puas hati tapi saya tak sangka dia bertindak menculik saya dan sanggup pula menyewa kereta semata-mata ingin melakukan jenayah itu," katanya.

Berita berkaitan

Dendam Facebook

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2018 @ 8:14 PM