Wan Sabariah (tudung biru) bersama bekas kru dan pengacara NLKO. FOTO Amirul Haswendy Ashari
Amirul Haswendy Ashari
haswendy@hmetro.com.my


SELEPAS 10 tahun bersiaran sejak 2008, program bual bicara pagi hujung minggu, Nasi Lemak Kopi O (NLKO) di TV9 akhirnya melabuhkan siarannya, di Rumah Kartun dan Komik Malaysia, Taman Botani Perdana, pagi tadi.

Pengurus dan Eksekutif Produser Berita TV9, Wan Sabariah Shikh Ali, berkata NLKO adalah program bual bicara hujung minggu paling tinggi ‘rating’ yang pernah mencapai lebih setengah juta tontonan, sebelum ini.

"Selama 10 tahun, NLKO membawakan pengisian bermanfaat dalam format santai dan menghiburkan.

"Secara peribadi, saya berbangga kerana hasil karya awal saya di TV9 ini bertahan selama 10 tahun dan berjaya mempopularkan ramai penghibur etnik dari Kamrul Husin dan Geng Wak Long, Balle Balle dan Drum Simfon," katanya.

Malah menghimpunkan barisan pengacara dari pelbagai genre, mempopularkan makanan nasi lemak dari gerai tersorok hinggalah ke restoran terkemuka.

Katanya, begitulah adat program televisyen, ia berkembang dan berubah, bermula dan berakhir untuk memenuhi kehendak penonton sehinggalah ke hari terakhir, hari ini.

NLKO yang bersiaran 8 hingga 10 pagi, setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad memulakan siaran pertamanya pada 4 April 2008 dan pelancaran dilakukan di Kuala Lumpur Sentral.

Program ini sudah menampilkan lebih 20 pengacara hebat antaranya Allahyarham Aziz Desa, Farah Adeeba, Yatt Hamzah, Nik Sayyidah, Fizo Omar, Nur Azean, FBI, Nana Mahzan, Aidid Marcelo dan ramai lagi.

NLKO ditamatkan siaran bagi memberi laluan kepada program TV jualan secara langsung, CJ Wow Shop yang akan memulakan siarannya bermula 8 pagi sehingga 5 petang, setiap hari.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Mac 2018 @ 2:35 PM