Sarah Zulkifli


PELAKON dan pengarah, Datuk Farid Kamil ditegur supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kes jenayah dihadapinya kerana ia sedang dibicarakan di mahkamah.

Peringatan itu dibuat Majistret Nor Ariffin Hi­sham, terhadap Farid Kamil atau nama penuhnya Farid Kamil Zahari, 37, selepas pelakon utama filem Lagenda Budak Setan membuat kenyataan baru-baru ini.

“Mahkamah ingin memberi peringatan kepada tertuduh disebabkan kes itu sudah dituduh di mahkamah, diharapkan tertuduh tidak membuat kenyataan berkaitan pertuduhan dihadapinya," katanya.

Peguam, Faizul Mohd Nasir yang mewakili pelakon drama Lafazkan Kalimah Cintamu itu kemudian berkata, pihaknya memohon maaf dan berterima kasih atas teguran berkenaan.

Hari ini ditetapkan prosiding sebutan semula kes membabitkan Farid yang mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mendatangkan kecederaan kepada eksekutif akaun di syarikat swasta, Ashraf Ahmad, 35, dan anggota polis, Konstabel Muhammad Nizam Jamaluddin, 24.

Pelakon itu turut didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap Muhammad Nizam dengan niat menghalang penjawat awam itu menjalankan tugasnya, manakala pertuduhan keempat, tertuduh didakwa berkelakuan tidak senonoh di dalam balai polis dengan mengeluarkan perkataan-perkataan kurang sopan sehingga boleh mendatangkan kemarahan dan penghinaan kepada Muhammad Nizam.

Bagi pertuduhan terakhir, Farid turut didakwa menggunakan dadah Tetra Hydrocannibol (THC), iaitu '11-nor -tetra hydrocannabinol-9-carboxylic acid, yang juga dadah terdapat pada ganja.

Mahkamah menetapkan 7 Mei depan sebagai pengurusan kes.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Mac 2018 @ 11:33 AM
FARID Kamil (tengah) hadir bersama Peguam, Faizul Mohd Nasir atas sebutan semula kes di Mahkamah Majistret Petaling Jaya. FOTO Khairul Azhar Ahmad