DIANA tegaskan bukan mudah anggap seseorang itu berbakat atau tidak dalam tempoh singkat.
HM Digital

Dalam kencang dilanda badai isu berkaitan suami tercinta, aktres jelita Datin Diana Danielle, 26, tetap kelihatan tenang.

Tidak ada satu komen meluncur keluar dari mulut Diana walaupun bertalu-talu diajukan soalan berkaitan suaminya, Datuk Farid Kamil.

Enggan terus menjadi bahan bualan, Diana lebih selesa berbicara soal kerjaya yang kini lebih matang.

Antara yang menarik, dia dilantik menjadi panel Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2018 di samping Fauziah Ahmad Daud, Erma Fatima, Fasha Sandha, Sheila Rusly dan Shahrulezad.

“Sebenarnya, saya masih fikirkan bagaimana mahu melaksanakan tugas besar ini. Akan ada ratusan peserta nanti dan saya perlu bijak mengawal keadaan.

“Lakonan bukan dengan cara memberitahu apa perlu dilakukan, tetapi mereka juga kena alami sendiri melalui beberapa cara. Saya harap dapat beri kelas yang berkualiti dan mereka seronok,” kata Diana ditemui pada acara separuh akhir Bintang Bersama Bintang 2018 (BBB18) minggu lalu.

Katanya, bakat mengambil masa untuk ‘keluar’ dan bukan mudah mengatakan seseorang itu berbakat atau tidak dalam tempoh singkat.

Paling penting ialah langkah pertama yang perlu dicuba dan memecahkan rasa malu sebelum mengetahui sama ada berbakat atau sebaliknya.

Malahan, beliau sendiri mengakui mengambil masa bertahun-tahun untuk menonjolkan bakat malah pernah dianggap pelakon ‘kayu’ pada awal kemunculan.

“Pertama, kita kena hilangkan rasa malu. Keduanya, kena bina rasa yakin apabila dikritik.

“Ramai patah semangat selepas beberapa tahun berjuang kerana berasakan tidak ada yang menerima mereka atau susah cari peluang.

“Hakikatnya persaingan dalam bidang ini sangat sengit. Oleh sebab itu, orang baru kena cari jalan dan cara yang sihat,” katanya.

Ditanya mengenai penggambaran filem terbaru, Gol & Gincu yang juga jenama cukup popular di TV dan filem lebih sedekad lalu, Diana memilih berkongsi hanya apa yang perlu bagi mengelak spekulasi.

Apatah lagi, ada desas-desus mengatakan Diana menggantikan watak Putri yang pernah dilakonkan Fazura.

Katanya, filem terbaru itu tiada kaitan dengan apa yang berlaku dalam karya terdahulu dan ia memaparkan jalan cerita berbeza.

Beliau turut menegaskan tiada istilah menggantikan sesiapa.

“Tiada sesiapa pun antara kami yang menggantikan sesiapa. Ia hanya kisah generasi baru yang relevan dengan zaman sekarang.

“Perbicangan dalam filem ini berkait rapat dengan masalah sosial sekarang, itu sahaja,” katanya ringkas.

Demi memenuhi tuntutan watak, Diana sanggup memotong pendek rambutnya dan tidak kisah andai diminta melakukannya lagi.

Kongsinya lagi, Gol & Gincu bukan mengenai bayaran sebaliknya bercakap mengenai inspirasi orang muda dan disebabkan itu, beliau sanggup lakukan apa saja untuk watak yang diberikan.

“Sebenarnya, duit, glamor dan ilmu penting di dalam industri ini. Apabila Tuhan beri pelbagai rezeki, saya perlu pandai untuk seimbangkan.

“Kita sudah dapat pilihan, kenalah pandai jaga pilihan itu dan ini. Saya tidak mahu ambil mudah apabila bercakap soal pilihan. Jika ambil projek ‘indie’ saja, bagaimana nak hidup?,” katanya tatkala memberi pendapat mengenai pilihan dalam kerjaya lakonan.

Selain DFKL dan filem Gol & Gincu, Diana turut menceburi cabang seni baru apabila mengendalikan program bual bicara santai, Kata Serasi bersama pengacara popular Nazrudin Rahman atau Naz.

Program itu baharu saja disiarkan di saluran NTV7 setiap Isnin jam 9.30 malam.

Beliau juga dalam proses perbincangan untuk menghasilkan single terbaru selepas pernah muncul dengan lagu berjudul Tentang Kita pada 2016.

Dalam pada itu, beliau berharap drama lakonannya, Raisha ada sambungan berikutan ada banyak permintaan daripada peminat. - Amirul Haswendy Ashari

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Mac 2018 @ 6:57 AM