PELATIH bersorak gembira menyambut baik kenaikan elaun SL1M yang diumumkan Najib
PELATIH bersorak gembira menyambut baik kenaikan elaun SL1M yang diumumkan Najib
Hamizah Badiran

Serdang: Berlangsung meriah dan menepati objektif penganjurannya, edisi sulung Program Temu Duga Terbuka Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) Peringkat Zon Tengah 2018 berjaya menarik lebih 55,000 pengunjung terdiri daripada pencari kerja, graduan dan masyarakat setempat.

Tambah menggamatkan suasana apabila Dewan D di MAEPS Serdang di sini, Sabtu lalu bergema dengan sorakan kegembiraan pengunjung sebaik saja Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kenaikan elaun bulanan SL1M daripada RM1,500 kepada RM2,000 sebulan.

Pengumuman berita gembira untuk pelatih SL1M berkenaan dibuat Najib selepas berucap merasmikan program di majlis itu.

Katanya, ia hadiah kepada semua pelatih SL1M yang sedang dan bakal menyertai program berkenaan.

Najib menyifatkan SL1M sebagai anak kunci yang berfungsi membuka peluang kehidupan lebih baik kepada generasi muda melalui peluang latihan dalam pekerjaan disediakan.

Menurutnya, sikap rajin, bersemangat dan bercita-cita tinggi saja belum mencukupi tanpa anak kunci yang biasanya tersedia melalui dasar disediakan kerajaan.

“Selain keinginan dan potensi besar yang dimiliki, kejayaan yang dinikmati rakyat dan negara adalah disebabkan kerajaan yang ada hari ini membantu meletakkan dasar yang baik untuk kemajuan warganya,” katanya.

Menurut Najib, SL1M berjaya membantu lebih 144,000 graduan yang mengikuti pelbagai latihan bersama industri sejak inisiatif itu diwujudkan pada 2011.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta yang sentiasa mendukung kerajaan dalam menerajui pelbagai inisiatif diwujudkan, khasnya SL1M.

“Syarikat ini bukan saja meningkatkan kebolehpasaran graduan yang mengikuti SL1M, malah secara tidak langsung turut memperkasakan modal insan negara,” katanya.

NAJIB merasmikan Program Temu Duga Terbuka SL1M Peringkat Zon Tengah 2018 sambil disaksikan Norashikin, Abdul Rahman (kiri) dan Richard Riot (kanan).
NAJIB merasmikan Program Temu Duga Terbuka SL1M Peringkat Zon Tengah 2018 sambil disaksikan Norashikin, Abdul Rahman (kiri) dan Richard Riot (kanan).

Hadir sama pada majlis perasmian adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr Richard Riot Jaem; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr Ismail Muttalib; Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Dr Mohd Gazali Abas dan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU), Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid.

Mengulas mengenai pengumuman berkenaan, Ketua Sekretariat SL1M, Norashikin Ismail berkata, kenaikan elaun itu akan berkuat kuasa tahun ini namun tarikhnya bakal diumumkan kelak selepas perbincangan bersama pihak industri dilakukan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri di atas berita gembira itu dan saya juga percaya ia amat dinanti-nantikan oleh semua pelatih.

“Bagi saya, jumlah itu rasional dan keputusan diambil selepas mengambil kira pelbagai faktor antaranya keadaan ekonomi semasa negara.

“Ia akan memanfaatkan sekurang-kurangnya 25,000 peserta SL1M yang baru (tahun ini),” katanya.

Pada acara yang berlangsung selama dua hari itu, sesi temu duga dijalankan secara terus oleh syarikat terbabit dan lebih 55,000 pengunjung hadir membanjiri MAEPS kali ini.

Antara syarikat mengambil bahagian ialah Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), Maybank, UEM Group Berhad (Kumpulan UEM), Chemical Company of Malaysia Bhd (CCM) dan CIMB Bank Bhd (CIMB Bank).

SL1M turut menyediakan ceramah kerjaya, klinik resume, pameran dan jualan kenderaan, pameran acara Custom Auto Show Terbesar Malaysia - Art of Speed, jualan barangan kraftangan Orang Asli dan orang kurang upaya (OKU) serta pelbagai lagi.

Bagi menarik kehadiran pengunjung, program ini turut menampilkan selebriti tempatan untuk memberi motivasi dan inspirasi kepada graduan serta pencari kerja.

PENGUNJUNG memenuhi ruang legar pameran Program Temu Duga Terbuka SL1M Peringkat Zon Tengah 2018.
PENGUNJUNG memenuhi ruang legar pameran Program Temu Duga Terbuka SL1M Peringkat Zon Tengah 2018.

Antara artis yang hadir ialah Faizal Tahir dan kumpulan Zero selaku Duta SL1M, Wany Hasrita, Sufian Suhaimi, Aiman Tino, Hael Husaini, Tajul, Haqiem Rusli dan Kumpulan Bocey.

Sesi motivasi khas bersama usahawan orang kurang upaya (OKU), Mohd Sukur Ibrahim dan Imam Muda Asyraf turut diadakan.

Pengunjung yang membawa anak pula dihiburkan dengan maskot Didi & Friends serta Omar & Hana.

Tidak ketinggalan, kereta Perodua Myvi 1.3 edisi terbaru yang ditawarkan sebagai ganjaran utama bagi cabutan bertuah pada program itu. Ia dimenangi alumni SL1M yang kini telah diserap bertugas di Maybank, Nurul Hasanah Abdul Fattah.

Pelbagai hadiah cabutan bertuah turut dimenangi pengunjung, termasuk motosikal, telefon bimbit dan barangan elektrik.

Sebagai kemudahan pengunjung, pengangkutan awam percuma juga disediakan di KTM Serdang dan Putrajaya Sentral serta pemberian kupon diskaun untuk GrabCar untuk ke lokasi program.

Selepas MAEPS, SL1M akan ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 17 dan 18 Mac depan, diikuti Kedah (zon utara), Johor Bharu (zon selatan), Kelantan (zon pantai timur) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) untuk peringkat negeri Sarawak.

PENCARI kerja dan graduan mengunjungi Program Temu Duga Terbuka SL1M Peringkat Zon Tengah 2018.
PENCARI kerja dan graduan mengunjungi Program Temu Duga Terbuka SL1M Peringkat Zon Tengah 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Mac 2018 @ 12:36 PM