LAPORAN portal berita Harian Metro, sebelum ini.
Mohd Izham Unnip Abdullah
thaddius@nstp.com.my


GEMPA bumi sederhana berukuran 5.2 skala Richter yang berpusat dekat Gunung Kinabalu di Ranau pada 9.06 malam tadi disahkan sebagai gegaran baru.

Pakar Geologi Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Dr Felix Tongkul berkata, ia bukan gempa susulan selepas gempa bumi berukuran 5.9 skala Richter yang juga berpusat di Gunung Kinabalu pada 5 Jun 2015.

“Gempa susulan selepas gempa bumi pada 2015 lalu sudah habis kerana tiada gegaran direkodkan dalam tempoh yang agak lama. Jadi ini adalah gegaran baru.

“Ramai yang menghubungi saya khususnya mereka yang tinggal di kawasan Gunung Kinabalu seperti di Kampung Mesilau, Kundasang.

Mereka takut mendengar bunyi gegaran yang kuat di kawasan gunung," katanya.


PENDAKI berkumpul di Laban Rata ketika berlaku gempa bumi. FOTO Ihsan Pembaca

Sementara itu, berdasarkan maklumat Jabatan Meteorologi Malaysia, gempa bumi terbaru dengan kedalaman lima kilometer itu dikesan di 6.1 Utara, 116.6 Timur, kira-kira 16kilometer barat laut Ranau.

Dalam kejadian gempa bumi pada 5 Jun 2015, ia disusuli lebih 100 gempa susulan yang berlaku dalam tempoh kira-kira setahun.

Sementara itu, Felix mengingatkan penduduk khususnya sekitar Gunung Kinabalu supaya mengambil langkah berjaga-jaga susulan kejadian gempa bumi malam ini.

"Kemungkinan ada gempa bumi susulan selepas ini, tetapi kita berharap ia bukan siri gempa bumi yang berpanjangan," katanya.

Berita berkaitan

Gempa bumi melanda lagi...

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Mac 2018 @ 10:25 PM