LAPORAN portal berita Harian Metro, hari ini.
Jalal Ali Abdul Rahim dan Balqis Jazimah Zahari


IDENTITI dua daripada tiga mangsa yang maut serta seorang mangsa parah dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan dua motosikal berkuasa tinggi di Kilometer 24, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) di Gerik, petang tadi, sudah dikenal pasti.

Dalam kejadian 4 petang itu, mangsa yang maut ialah pemandu Perodua Bezza, Ahmad Shadrul Amin Mohd Sauki, 22, berasal dari Besut, Terengganu serta dua penunggang motosikal, Mohd Rosli Hussin, dari Machang, Kelantan dan seorang lagi belum dikenal pasti identitinya.

Ahmad Shadrul Amin dan penunggang motosikal yang belum dikenal pasti identiti maut di tempat kejadian, manakala Mohd Rosli yang parah disahkan meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Gerik (HG) jam 7.25 malam.

Kemalangan turut menyebabkan penumpang hadapan kereta Muhamad Aziman Mahamood, dari Machang, parah dan kini dirawat di Hospital Taiping (HT).

Ketua Polis Daerah Gerik Superintendan Ismail Che Isa berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian kereta dari arah Jeli ke Gerik manakala kedua-dua motosikal berkonvoi dari arah bertentangan.

Beliau berkata, ketika tiba di lokasi kejadian iaitu laluan mendaki dan sedikit berselekoh, kereta Perodua Bezza dan motosikal dinaiki mangsa belum dikenal pasti identiti itu bergesel.

Katanya, motosikal ditunggang Mohd Rosli yang berada di belakang motosikal ditunggang mangsa belum dikenal pasti identiti itu cuba mengelak ke kiri jalan sebelum terbabas melanggar tembok.

"Pada masa sama pelanggaran menyebabkan kereta itu berpusing dan melanggar penghadang besi di sebelah kiri jalan menghala ke Gerik.

"Motosikal dinaiki mangsa yang belum dikenal pasti identitinya itu pula terbabas ke kiri sebelum mangsa tercampak ke dalam longkang di kiri jalan berkenaan yang menghala ke Jeli.

"Akibat kemalangan itu, pemandu kereta (Ahmad Shadrul Amin) dan penunggang motosikal yang belum dikenal pasti identiti itu maut di tempat kejadian.

"Penumpang hadapan kereta (Muhamad Aziman) dan Mohd Rosli parah dan dikejarkan ke hospital, namun Mohd Rosli disahkan meninggal dunia pada 7.25 malam tadi," katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Ismail berkata, mayat ketiga-tiga mangsa dibedah siasat di Hospital Gerik malam ini dan siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri berkata, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik yang tiba di lokasi membantu membersihkan kawasan dan menyerahkan mayat mangsa kepada polis dan ambulans untuk tindakan lanjut.

Berita berkaitan

'Tiga maut, satu cedera'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Mac 2018 @ 9:18 PM