Kalidevi Mogan dan Norizuan Shamsuddin dan Nabihah Kamal


Kuala Lumpur: Buka meja, letak barang dan jual. Bagaikan tidak gentar dengan undang-undang, sekumpulan lelaki selamba menjual ‘ubat kuat’ atau ubat perangsang seks dan peralatan seks di sekitar Lorong Haji Taib, di sini, bermula pada waktu malam sehingga awal pagi.

Tinjauan mendapati sekurang-kurangnya tujuh penjual di sekitar kawasan berkenaan menjual barang terlarang itu.

Paling mengejutkan, seorang daripada penjual lagaknya bagaikan doktor apabila memaklumkan jika ada penyakit, pandai-pandailah ambil ikut sukatan sendiri.

Berikut perbualan wartawan dengan penjual.

Penjual: Ya dik, cari apa? Macam-macam ada boleh pilih.

Wartawan: Yang ‘baik’ punya ada?

Penjual: Ada. Awak nak yang macam mana? Untuk awak atau orang rumah?

Wartawan: Apa yang best?

Penjual: Pil ada ubat air ada.

Wartawan: Tak bahaya ke bang?

Penjual: Tak. Orang lama-lama dah guna. Ramai pakai.

Wartawan: Mana yang elok?

Penjual: Semua okay tetapi yang ini paling laris (sambil menunjukkan botol yang mengandungi cecair).

Wartawan: Ubat apa?

Penjual: Spanish Fly. Ramai dah biasa guna ni.

Wartawan: Ooo..yang pil takda?

Penjual: Semua ada.

Wartawan: Tak bagi kesan pada jantung?

Penjual: Tidak. Pandai-pandai ubah sukatan dan campurkan air lebih. Kalau pil, ambil separuh saja.

Wartawan: Selain pil dan cecair ada yang lain ke?

Penjual: Ada. Jenis tisu, sex toys pun ada? Nak tengok? Saya ambil dalam kereta.

JKDM perlu pantau, banteras penjualan barangan seks

Agensi penguatkuasaan terutama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) perlu lebih berperanan dalam membanteras penjualan barangan mengundang sensitiviti masyarakat seperti peralatan seks yang boleh didapati secara mudah termasuk secara dalam talian.

Mengikut undang-undang dan kuasa yang diberikan kerajaan, JKDM boleh membuka sebarang bungkusan yang mencurigakan, dihantar dari luar negara kepada pembeli.

Pakar kriminalogi Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, penjualan barangan sebegitu menerusi dalam talian sebenarnya boleh dikawal jika penguat kuasa yang dilantik membuat kawalan lebih ketat terhadap sebarang barang yang dihantar dari luar negara.

Katanya, penguat kuasa JKDM mempunyai kemampuan untuk ‘melihat’ seterusnya memeriksa setiap barangan yang masuk ke Malaysia dan menyekat barangan yang bakal mengundang kemudaratan kepada masyarakat.

“JKDM perlu merampas barangan seperti alat kepuasan seks yang dibeli secara dalam talian oleh pembeli kerana dengan cara ini saja kita boleh menjaga masyarakat dari sebarang anasir negatif,” katanya.

“Selain itu, saya juga yakin pihak penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) juga boleh bertindak membuka bungkusan dari luar negara jika ia mencurigakan.

“Jika tidak, panggil saja pembeli untuk membuka sendiri bungkusan itu,” katanya kepada Metro Ahad.

Shahul Hamid berkata, isu penjualan barangan sensitif dan terlarang secara dalam talian perlu ditangani dengan tegas oleh semua agensi penguat kuasa.

“Kita perlu sedar pada masa kini, akses masyarakat terhadap barangan sebegini terlalu mudah namun kita juga perlu tahu negara mempunyai undang-undang yang cukup untuk membendung perkara daripada menjadi lebih serius,” katanya.

Mengulas mengenai peralatan seks, beliau menjelaskan masyarakat tidak seharusnya menjadikan Malaysia seperti negara luar yang mudah menjadikan barang sebegitu sebagai satu perniagaan.

“Budaya kita dipandang tinggi oleh masyarakat luar dan dengan penjualan dan permintaan terhadap peralatan seks ini sudah tentu akan merendahkan moral masyarakat.

“Kita bukan negara yang mengamal seks bebas dan perkara itu juga adalah satu kesalahan dari konteks undang-undang dan agama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Mac 2018 @ 7:29 AM
PENIAGA tidak gentar jaja ubat perangsang seks secara terbuka.
PENIAGA tidak gentar jaja ubat perangsang seks secara terbuka.