NOOR Shuhada Najwa (kiri) menjaga ibunya Ramlah yang terlantar menderita hidap penyakit kanser otak tahap empat ketika ditemui di rumahnya. FOTO Nazirul Roselan
Noor Ainum Ibnu Hajar Abu Seman


TIADA permintaan yang lebih sayu daripada menunaikan hasrat seorang ibu untuk melihat anak sulungnya mendirikan rumah tangga sebelum menutup mata.

Hasrat itu disuarakan Ramlah Deris, 53, yang menghidap kanser otak tahap empat kepada ahli keluarganya sebagai permintaan terakhir sebelum wanita itu menutup mata.

Suaminya, Midon Osman, 62, berkata, dia dan empat anaknya berusaha untuk menunaikan permintaan isterinya itu dengan mengadakan majlis akad nikah anak sulungnya, Noor Shuhadah Najwa dan kenduri kesyukuran secara kecil-kecilan yang akan dihadiri rakan dan ahli keluarga terdekat, malam ini.

“Dia (isteri) meminta supaya majlis anak sulung kami disegerakan sementara keadaannya masih baik selain berpesan supaya dikebumikan di sebelah kubur arwah adiknya, di sini selepas dia ‘pergi’ nanti,” katanya ketika ditemui di rumahnya di FELCRA Tembeling Tengah, Jerantut, hari ini.

Anak sulung pasangan itu, Noor Shuhadah, 32, yang bertugas sebagai jururawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh berkata, walaupun hari bahagianya tidak seperti yang diimpikan selayaknya pengantin lain namun tidak terkilan.

“Saya hanya mahu tunaikan hasrat ibu kerana ini permintaannya. Saya tidak kisah mengenai majlis besar atau tidak kerana bila-bila masa boleh buat tapi hayat ibu kita tak tahu sampai bila,” katanya.


NOOR Shuhada Najwa sebak melihat ibunya, Ramlah yang terlantar menderita menghidap penyakit kanser otak tahap empat. FOTO Nazirul Roselan

Sementara itu, anak bongsu Ramlah, Noor Suhada Nahajar, 23 berkata, ibunya disahkan menderita penyakit berkenaan selepas kerap mengalami sakit kepala dan bahagian kanan badannya sukar digerakkan sejak Ramadan tahun lalu.

“Kami bawa ibu ke klinik Kuala Tahan, di Jerantut tapi abang minta dirawat ke Hospital Jerantut. Pihak hospital di sini bimbang ibu terkena strok lalu merujuknya ke HOSHAS, Temerloh.

“Pihak HOSHAS segera jalankan imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) dan menghantar imbasan itu ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan. Apabila HTAA baca imbasan itu baharu tahu di bahagian kiri otak ibu ada ketumbuhan dan pendarahan. Doktor kemudian sahkan ibu menghidap kanser otak dan ia sudah tahap empat,” katanya.

Noor Suhada berkata, pembedahan untuk membuang ketumbuhan dijalankan pada Oktober tahun lalu dan rawatan radioterapi dijalankan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada Disember lalu hingga Januari tahun ini.

“Selepas pembedahan, ibu masih boleh duduk namun selepas jalani radioterapi kami perlu membantu mengangkat badannya untuk memakai lampin pakai buang dan matanya juga sudah tidak berapa nampak... tangannya pula terketar-ketar.

“Doktor tidak cadangkan ibu jalani kemoterapi kerana keadaannya yang lemah. Apabila ayah bawa pulang ibu, doktor bekalkan ubat tahan sakit. Berat ibu juga semakin susut kerana hanya bergantung pada susu khas yang diminum melalui tiub di hidung kerana bimbang jangkitan kuman.

“Pemeriksaan baru-baru ini, doktor memaklumkan keadaan ibu semakin teruk dan jangka hayatnya tidak lama dan disebabkan itu doktor memberitahu ibu memerlukan sokongan daripada kami semua,” katanya memaklumkan keluarganya reda dengan keadaan ibunya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Mac 2018 @ 11:25 PM