NAZRUL menerima nasihat daripada pegawai AADK, Mohd Shahril Irwan Ahmad Zamri. FOTO Nazdy Harun

Kuala Terengganu: “Saya nekad untuk pulih sepenuhnya dan kembali ke sekolah, Saya mahu duduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” kata seorang pelatih di Pusat Pulih dan Rawat (CCSC) Kuala Terengganu dikenali Nazrul, 17.

Nazrul (bukan nama sebenar) yang ditemui di pusat itu kendalian Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di sini, memberitahu sudah dua tahun dia keciciran sekolah akibat penyalahgunaan dadah.

Mengimbas detik hitam hidupnya, Nazrul berkata, disebabkan terjebak najis dadah, dia ditahan polis di sekolahnya di sini, sebelum dibuang sekolah dan kemudian memilih untuk bekerja bagi menampung perbelanjaan harian.

Lebih utama katanya, ketika itu, dia bekerja untuk membeli dadah dan wang gajinya habis untuk memuaskan kehendak diri yang akhirnya merosakkan masa depannya.

Katanya, disebabkan sukar mengawal ketagihan, dia sekali lagi ditahan namun, kali ini ibarat ‘pakej’ apabila dia bersama ayahnya yang juga seorang penagih tegar pil kuda ketika mereka berada di rumah.

“Ayah dihantar ke pusat pemulihan dadah di Jeli, Kelantan, manakala saya memilih untuk mendapatkan rawatan di CCSC Kuala Terengganu. Selepas ini saya bertekad untuk kembali ke sekolah selepas lebih dua tahun meninggalkan alam persekolahan.

“Namun, lebih menggusarkan saya ketika ini, apabila ibu memberitahu abang juga terjebak penyalahgunaan dadah sejak kebelakangan ini,” katanya yang memberitahu keluarganya rosak kerana dadah.

Nazrul berkata, dia mula mengenal dadah disebabkan keinginan untuk mencuba, tetapi memakan diri apabila ketagih dan mula menjualnya pula kepada rakan lain.

Dia tidak menafikan tindak tanduknya ketika bersekolah sukar dikawal menyebabkan dia tertangkap dan ujian air kencing mengesahkan dia positif dadah jenis methamphetamine.

“Saya dibuang sekolah dan mula bekerja untuk membeli pil kuda berharga RM20 hingga RM30 sehari, tetapi ia masih belum mencukupi.

“Dulu, saya juga pernah gertak ibu untuk dapatkan duit beli dadah. Ibu terpaksa akur kerana perangai buruk saya ketika itu.

“Ayah pula bekerja sebagai pengawal keselamatan tetapi dia sering mengamuk di rumah dan minta wang untuk beli dadah juga,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai AADK Kuala Terengganu, Hafiz Hassan berkata, Nazrul bersama ayahnya ditahan dalam satu operasi di hadapan rumah dua beranak itu.

“Kita di AADK sentiasa memberi tumpuan dalam membantu penagih bagi mendapatkan rawatan dan pemulihan secara berterusan, selain sokongan keluarga bagi membolehkan penagih terus meninggalkan tabiat buruk berkenaan.

“Pelbagai pengisian diterapkan kepada penghuni di CCSC dan kita berharap masyarakat di luar sana turut sama-sama membantu dalam proses pencegahan di peringkat awal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Mac 2018 @ 8:05 AM