AZLINA melihat gambar kenangan keluarga bersama anaknya Mia Amira di Bandar Baru Kangkar Pulai, Johor Bahru, hari ini. FOTO Zain Ahmed
Mary Victoria Dass


“ARWAH (suami) memiliki bakat membuat lawak secara semula jadi termasuk di rumah dan ia kenangan indah buat kami sampai bila-bila,” kata Azlina Azis, 40.

Azlina adalah balu bekas peserta Raja Lawak 5 (2010) Nizam Solah, 42, yang meninggal dunia pada 21 Januari lalu.

Menurutnya, arwah yang bekerja di sebuah gudang di sebuah syarikat menjual kereta di Johor Bahru sebelum ini tidak menunjukkan sebarang perubahan.

“Sehari sebelum arwah meninggal dunia, seperti biasa saya bersalam dan dia keluar rumah dengan wajah ceria, namun pada tengah hari saya terima panggilan daripada rakan sekerjanya menyatakan suami dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA).

“Saya difahamkan arwah muntah ketika sedang makan di tempat kerja dan terus ke tandas sebelum rebah,” katanya.

Azlina berkata, suaminya disahkan meninggal dunia akibat tekanan darah tinggi walaupun sebelum ini tidak pernah dikesan menghidap sebarang komplikasi kesihatan.

Menurutnya, dia yang bekerja sebagai Eksekutif Teknologi Maklumat di Lembaga Pertubuhan Peladang di Pandan, Johor Bahru kini memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga dengan menyara tiga anak berusia lapan hingga 14 tahun.

“Kami berdoa semoga arwah tenang di sana. Kami merinduinya kerana arwah suka menghiburkan ahli keluarga dan mengakui sunyi tanpanya.

“Saya bersyukur kerana hasil caruman arwah di Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) membolehkan kami menerima faedah penakat pencen bagi meringankan beban termasuk mengurus perbelanjaan persekolahan anak serta membayar pinjaman rumah,” katanya.

Terdahulu, Azlina menerima cek daripada PERKESO termasuk faedah pengurusan mayat RM2,000 dan sebahagian pencen penakat, hari ini.

Hadir menyampaikan cek ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nusa Jaya Dr Zaini Abu Bakar serta Penolong Pengarah PERKESO Johor Salmah Sabran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Mac 2018 @ 3:58 PM