Budak berusia tujuh tahun yang ditularkan diculik bersama ibunya. FOTO Ihsan AADK
Nor Amalina Alias
cnews@nstp.com.my

KANAK-KANAK berusia tujuh tahun yang ditularkan diculik ketika berada di sekolah sebenarnya 'diambil' Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Bachok kerana ibunya ditangkap dalam operasi membasmi dadah.

Ketua Unit Penguatkuasaan AADK Bachok, Muhammad Rostam Mohd Aluwi berkata, pegawainya mengambil kanak-kanak itu di Sekolah Kebangsaan (SK) Tegayong selepas wanita itu meminta AADK berbuat demikian selepas dia ditangkap.

Katanya, sebelum itu, wanita berusia 35 tahun itu ditangkap bersama empat lagi penagih dalam satu serbuan di Kampung Bukit Hanyut, Gunong, Bachok pada jam 11.40 pagi tadi.

"Ibu tunggal anak satu itu kemudiannya meminta tolong kepada AADK untuk mengambil anaknya di sekolah selepas ahli keluarga yang lain enggan berbuat demikian.

"Atas dasar kasihan, kami bersetuju dan pergi ke sekolah untuk mengambil kanak-kanak itu dengan van yang turut dinaiki ibunya kira-kira jam 12.30 tengah hari," katanya ketika dihubungi, di Bachok, hari ini.

Muhammad Rostam berkata, pegawainya juga menunjukkan kad penguatkuasa kepada guru sebelum mengambil kanak-kanak itu dan terkejut dengan penyebaran berita palsu yang mendakwa kanak-kanak itu diculik dan dibawa lari individu yang menyamar sebagai pegawai AADK.

Katanya, kanak-kanak itu juga kini berada di bawah jagaan pihaknya di pejabat AADK Bachok di Telong bersama ibunya.

Terdahulu, orang ramai dikejutkan dengan satu tular yang mendakwa kononnya seorang murid Tahun Satu satu dilarikan individu ketika berada di dalam kelas di SK Tegayong.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Mac 2018 @ 4:44 PM