KEKASIH Fadlan mula tertarik dengan Islam sebelum mengenalinya.
KEKASIH Fadlan mula tertarik dengan Islam sebelum mengenalinya.


Cerita cinta pasti menjadi penyeri perjalanan portfolio seorang jejaka yang memilih bidang seni sebagai haluan kerjaya.

Begitu juga yang berlaku dalam kehidupan pelakon berwajah tampan, Fadlan Hazim.

Fadlan sudah mengenali hati budi seorang wanita bernama Julie Anne yang dikenali sejak di bangku sekolah dan pernah menjadi teman baik.

Tanpa berselindung, jejaka berusia 26 tahun ini sudah mempunyai perancangan untuk mengakhiri zaman bujang dengan gadis berbangsa Cina itu, namun tidak terburu-buru dalam soal perkahwinan.

“Kami sudah mula berbincang mengenai perkahwinan memandangkan sudah lama kenal dan menjalin kasih.

“Sampai satu masa, saya sukar untuk berenggang dengannya. Makin lama makin sayang dan perasaan rindu bertamu di hati.

“Bagaimanapun, majlis perkahwinan tidak akan diadakan waktu terdekat sebaliknya mungkin setahun atau dua tahun lagi. Kami sibuk dengan komitmen kerja masing-masing, jadi ada banyak tugas yang perlu diselesaikan,” katanya.

Ditanya adakah perbezaan agama menyebabkan dia perlu memikirkan banyak perkara sebelum membuat keputusan berkahwin, Fadlan berkata, isu itu bukan menjadi penghalang.

“Walaupun kami berlainan agama, saya bersyukur Julie sangat memahami budaya dan agama Islam. Tambahan pula, tempat kami membesar sangat menitikberatkan nilai perpaduan membuatkan saya seperti bercinta dengan bangsa sendiri,” katanya.

Menurut Fadlan, Julie kini dalam proses mendalami agama Islam.

Katanya, kekasihnya itu terbuka hati untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Islam dan bersedia memeluk Islam satu hari nanti.

“Buat masa ini, Julie mempersiapkan diri untuk mendalami agama Islam. Malah, saya juga tidak melepaskan peluang untuk mengikuti kelas agama dengannya kerana saya pun banyak kekurangan.

“Sebenarnya sebelum bersama saya lagi, Julie memaklumkan hatinya sudah mula terbuka untuk mengenali Islam dan bersedia mempelajari lebih lanjut mengenai agama ini.

“Soal memeluk agama Islam agak sensitif untuk diperbahaskan, cuma saya harap masyarakat mendoakan yang baik-baik,” katanya.

Rasa tergugat juga dengan pendatang baru

Setiap tahun, industri hiburan tempatan sering menerima kehadiran bakat baru terutama dalam bidang lakonan.

Walaupun masing-masing cuba mengetengahkan bakat yang dimiliki, namun tidak semua dikurniakan nasib yang baik dalam usaha untuk menempa nama serta menggapai status populariti dalam bidang terbabit.

Namun, Fadlan bersyukur walaupun industri seni dibanjiri pendatang baru, tidak sedikit pun merencatkan kerjayanya sebagai pelakon, sebaliknya dia terus diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab lebih besar.

“Alhamdulillah tawaran lakonan tidak pernah putus. Walaupun ramai pendatang baru mempunyai pakej yang lebih hebat, ia tidak menjejaskan peluang saya untuk membawa watak kecil atau besar.

“Saya memang tidak pernah memilih watak. Apa yang penting saya mampu menjalankan tanggungjawab itu dengan jujur dan ikhlas,” katanya.

Pada masa sama, Fadlan mengakui ada rasa tergugat dengan kehadiran muka baru, tetapi tetap optimis dan yakin dengan setiap peluang yang diberikan.

“Tipulah kalau tak tergugat, tapi setakat ini saya okey kerana yakin pada setiap peluang dan bakat yang dimiliki. Namun sebagai anak seni, tugas saya adalah untuk sentiasa memperbaiki diri supaya tidak berada di takuk yang sama.

“Saya perlu mempelbagaikan watak dan mencari kelainan dalam diri supaya kehadiran mengikut trend dan diterima ramai,” katanya.

Ikut kehendak peminat jadi ‘sado’

Dalam bidang seni, imej adalah perkara yang boleh dianggap sebagai jenama termahal seseorang selebriti.

Cara pembawaan diri, berfesyen, percakapan, gaya rambut dan pembentukan imej sempurna adalah keperluan penting untuk menjadikan seseorang selebriti itu lebih dikenali khalayak.

Melihat imej terbaru Fadlan yang semakin berbadan sasa atau sado, dia memaklumkan terpaksa mengikut permintaan industri seni selain mempunyai nilai komersial.

“Walaupun fokus kepada bakat lakonan, saya tidak boleh lupakan sudut nilai komersial. Tidak dinafikan, stesen TV sekarang sukakan wajah yang kemas dan mempunyai tubuh badan menarik selain aspek bakat lakonan.

“Oleh itu, saya mengikut peredaran yang berlaku dan kehendak audiens. Namun sekiranya ditawarkan watak yang memerlukan untuk kelihatan kurus dan besar, saya sanggup lakukannya asalkan setiap watak itu diterjemahkan dengan baik,” katanya yang kini sibuk mempromosikan drama bersiri berjudul Takdir Cinta Sepertimu yang ditayangkan di saluran Astro Ria.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Mac 2018 @ 7:20 AM