NUR Firuza Amira (kiri) dan Nur Firuza Aqila bersama ibu saudara mereka, Yusnidah Husain, 50, hadir pada sebutan kes hadanah di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, hari ini, FOTO Rosdan Wahid
Nor Azura Abdul Jalil


MAHKAMAH Tinggi Syariah Kuala Lumpur, hari ini menetapkan 2 April ini untuk memanggil dua anak mangsa kemalangan maut Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (DUKE), tiga tahun lalu, untuk memberi keterangan sama ada ingin tinggal dengan ibu saudara atau nenek mereka.

Tarikh itu ditetapkan Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Mustaffa Amri Yussuf selepas sebutan kes berkenaan yang dihadiri Yusnidah Husain, 50, selaku plaintif dan Wirda Syamsuddin, 54, (defendan).

Pada prosiding itu nanti, mahkamah akan mendengar keterangan dua beradik, Nur Firuza Amira Fairuz Nizam, 10, dan Nur Firuza Aqila, 7, sebelum Hakim Syarie Muhamad Abd Karim Wahab memberikan keputusan terhadap tuntutan hak penjagaan anak kekal (hadanah) yang dikemukakan Yusnidah.

Pada 11 Ogos 2015, Yusnidah diberikan hak penjagaan sementara kedua-dua anak yatim itu.

Pada prosiding semalam, Yusnidah hadir diwakili peguam syarie Mahyuddin Md Zahari manakala Wirda diwakili peguam syarie Yusfa Hanis Yusoff.

Yusnidah memfailkan permohonan hadanah pada 2 Jun 2015 mengikut Seksyen 81 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.

Dalam kejadian 2 Mei 2015, di Kilometer 6.2 arah Hulu Klang ke Jalan Duta, Fairuz Nizam dan Nova Safitri serta anak mereka, Nur Firuza Annisa yang dalam perjalanan pulang selepas menghadiri majlis perkahwinan di Putrajaya, maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Mac 2018 @ 2:54 PM