AZWAN (tengah) bersama anak Orang Asli suku Jahai di pedalaman Tasik Banding, Gerik. FOTO Ihsan Azwan Ismail
Suraya Roslan


BAGI guru di bandar pada kebiasaannya akan menerima hadiah bunga, coklat atau cenderahati berharga lain sempena Sambutan Hari Guru pada 16 Mei setiap tahun.

Keadaan itu berbeza di pendalaman apabila guru menerima seguni pucuk paku dan ikan air tawar daripada anak murid terdiri dalam kalangan anak-anak Orang Asli di Kampung Sungai Tiang dan Kampung Sungai Kejar di Gerik.

Itu pengalaman dirasai Azwan Ismail, 32, atau lebih mesra dengan panggilan Cikgu Wan Pang dalam kalangan anak muridnya apabila ditugaskan mengajar di dua sekolah untuk masyarakat Orang Asli iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tiang dan SK Sungai Kejar.

Katanya, pelawat dari jeti awam Tasik Banding perlu menempuh perjalanan menggunakan bot selama hampir lima jam untuk kedua-dua sekolah berkenaan.

“Sebagai guru saya tetap berasa terharu meskipun menerima hadiah pucuk paku dan ikan air tawar pada sambutan Hari Guru. Hanya Allah yang tahu perasaan gembira saya ketika itu.

“Bagi saya itu hadiah hari guru paling hebat pernah diterima, memang tak harapkan sebarang balasan kerana saya cuma menjalankan tugas.

“Pada kebiasaannya saya akan memasak pucuk paku dan ikan sebelum dihidangkan kepada anak murid untuk kami akan makan bersama-sama,” katanya.

Azwan yang berasal dari Kupang, Baling, Kedah berkata, tanggungjawab diamanahkan dipikul sebaiknya meskipun berdepan masalah komunikasi kerana masyarakat Orang Asli suku Jahai, langsung tidak memahami bahasa Melayu.

Malah, dia menganggap perkara itu cabaran demi menjalankan amanah untuk mendidik 50 murid Orang Asli berusia tujuh hingga 12 tahun di SK Sungai Kejar, manakala 20 lagi di SK Sungai Tiang.


AZWAN (kanan) memberi taklimat kepada anak muridnya sebelum acara sukaneka pada program Mekar Orang Asli Perak 2018 anjuran Jabatan Pendaftaran Negara di Sekolah Kebangsaan Sungai Tiang, Tasik Banding, Gerik. FOTO Abdullah Yusof

Misi Azwan, mengajar mereka menguasai 3M (membaca, menulis dan mengira) dan dia berasa puas apabila kebanyakan murid di SK Sungai Tiang sudah dapat mengenali huruf serta membaca.

“Di SK Sungai Kejar pula (murid) agak ketinggalan kerana lokasinya amat jauh di pedalaman, sekali gus menyebabkan proses pembelajaran menjadi sukar,” katanya.

Selain Azwan, wartawan turut menemui 11 lagi guru lain bersempena program walkabout Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di SK Sungai Tiang, baru-baru ini.

Menurutnya, jarak antara dua sekolah itu memerlukannya menaiki bot selama sejam setiap hari antara Isnin hingga Khamis.

“Bagaimanapun saya seronok menjalankan tugas hakiki ini dengan memikul matlamat kementerian iaitu membasmi kadar buta huruf dalam kalangan rakyat Malaysia termasuk masyarakat Orang Asli.

“Mereka ini lebih gemar belajar di bawah pokok, jadi kami jarang guna bangunan kelas disediakan. Mungkin mereka ini lebih selesa menghirup udara segar,” katanya yang baru mendirikan rumah tangga empat bulan lalu.

Katanya, boleh dikatakan setiap hari hidupnya ditemani anak murid yang sudah dianggap seperti anak sendiri.

“Walaupun terpaksa mengajar dua sekolah yang jaraknya jauh antara satu sama lain, namun saya seronok dan menganggapnya sebagai cabaran dalam hidup,” katanya.


MURID Orang Asli bermain sepak takraw di Sekolah Kebangsaan Sungai Tiang, Tasik Banding, Gerik. FOTO Abdullah Yusof

Menurutnya, antara pencapaian terbaik pernah dicapai apabila muridnya mendapat A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

“Tidak kisah berapa A diperoleh, yang penting mereka dapat membaca, menulis dan mengira,” katanya.

Menceritakan perasaan ketika ditugaskan di pedalaman, Azwan berkata, tidak dinafikan pada mulanya dia mengalami perasaan takut dan risau.

“Timbul persoalan mampukah saya hidup dalam hutan. Fikiran saya runsing memikirkan pelbagai perkara termasuk jarak perjalanan ke Kampung Sungai Tiang yang jauh dan mencabar, kawasan itu juga tidak ada liputan telekomunikasi.

“Alhamdulillah selepas lapan tahun berkhidmat di sekolah berkenaan kebimbangan itu hilang, sebaliknya seronok bergaul dengan masyarakat Orang Asli di sini.

“Murid-murid memberi kerjasama baik, tidak ada masalah disiplin. Memang saya berasa puas setiap kali melihat mereka semua membaca dan menulis dengan lancar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Mac 2018 @ 10:50 PM