MOHD Jeffry bersama ibunya, Ratnawilis Sulaiman dan kakaknya pada Majlis Konvokesyen ke-23 Politeknik Ibrahim Sultan.
Mary Victoria Dass
maryvictoria@nstp.com.my


Pasir Gudang: Pengorbanan ibu bapa yang mengerah kudrat dengan menjual makanan di pasar malam hingga tengah malam untuk mencari rezeki menjadi pembakar semangat kepada Mohd Jeffry Zainuddin, 29, untuk belajar bersungguh-sungguh sejak di bangku sekolah rendah.

Semalam menjadi detik bersejarah bagi pemuda berasal dari Pontian itu apabila terpilih sebagai penerima Anugerah Khas Pengarah sempena Konvokesyen kali ke-23 Politeknik Ibrahim Sultan (PIS).

Anugerah berkenaan dimenangi hasil kecemerlangan akademik serta pembabitan aktif dalam kokurikulum.

Mohd Jeffry berkata, dia amat bersyukur dengan pencapaiannya yang berjaya menamatkan pengajian di peringkat sarjana muda dalam jurusan Pengurusan Pelancongan dan Hospitaliti Antarabangsa.

Anak bongsu daripada dua beradik itu berkata, kejayaan itu memberi kepuasan bagi dirinya kerana mampu menunaikan hasrat bapanya, Allahyarham Zainuddin Sharkawi, 56, untuk meraih kejayaan dalam pengajian.

“Namun, saya sedikit terkilan kerana ayah tidak sempat meraikan kejayaan ini bersama-sama saya kerana sudah kembali ke rahmatullah, Ogos tahun lalu akibat menghidap asma.

“Saya ingin menghadiahkan anugerah ini kepada arwah dan ibu, Ratnawilis Sulaiman, 49, yang bersusah payah mendidik saya dan kakak hingga kami berjaya ke menara gading,” katanya.

Mohd Jeffry yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.21 berkata, dia percaya pengurusan masa adalah rahsia kejayaan seseorang dalam kehidupan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Mac 2018 @ 10:21 AM