ARIE memberi makanan kepada sekumpulan monyet.
ARIE memberi makanan kepada sekumpulan monyet.
ARIE lindungi haiwan gelandangan dan terbiar daripada dizalimi.
ARIE lindungi haiwan gelandangan dan terbiar daripada dizalimi.
Norizuan Shamsuddin


Kuala Lumpur: Bukan setakat memastikan nasib haiwan terabai dan dizalimi mendapat pembelaan malah memastikan pelaku terbabit turut dikenakan tindakan undang-undang menjadi perjuangan Arie Dwi Andika, 39.

Presiden Persatuan Haiwan Malaysia (Animal Malaysia) itu aktif memperjuangkan nasib haiwan selepas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu yang diasaskan pada 2016.

Menurut Arie, minatnya dalam memperjuangkan nasib haiwan bermula selepas dia menyelamatkan seekor anak kucing terperangkap di dalam longkang 17 tahun lalu ketika menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

“Selepas itu, saya mengambil keputusan menjaga kucing jantan berkenaan. Sejak itu saya aktif dalam program kembiri kucing anjuran Persatuan Mencegah Kekejaman Terhadap Haiwan (SPCA).

“Selepas tamat pengajian saya membuka Pusat Pengurusan dan Penjagaan Kucing Ikhlas (PPPKI) pada 2006 yang menawarkan khidmat asrama kucing, dandanan, jualan makanan dan aksesori haiwan selain menjadi pusat perlindungan kucing terbiar,” katanya.

Jelasnya, selepas bergiat aktif dalam persatuan kucing dia mula memikirkan mengenai nasib haiwan lain terutamanya yang terbiar dan dizalimi manusia.

“Ia mendorong saya mengasaskan persatuan yang melindungi kebajikan haiwan keseluruhannya dengan menubuhkan Animal Malaysia. Ia menggabungkan persatuan kecil, pusat perlindungan dan kumpulan penyelamat haiwan persendirian.

“Sejak Animal Malaysia ditubuhkan, kami menguruskan ratusan kes penganiayaan haiwan terutamanya kucing dan anjing.

“Antaranya membabitkan tular lelaki warga Singapura memukul anjing dipanggil Furby di pondok pengawal taman perumahan di Bandar Kinrara, Puchong, April tahun lalu dan pelaku terbabit dijatuhkan hukuman denda RM8,000 oleh mahkamah,” katanya.

Menceritakan sejarah penubuhan Animal Malaysia, Arie berkata, persatuan mempunyai matlamat memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai pentingnya menyantuni, membantu, menyayangi dan memelihara kesinambungan kehidupan yang aman untuk semua jenis haiwan.

“Walaupun tidak mempunyai kuasa, tetapi kami akan mendesak pihak berkaitan memperkemaskan tindakan berdasarkan undang-undang sedia ada bagi memastikan pelaku yang menganiaya atau menzalimi haiwan menerima hukuman setimpal atas perbuatannya.

“Kami akan memastikan akta membabitkan haiwan diguna pakai semaksimumnya oleh agensi berkaitan untuk membela dan memperjuangkan nasib haiwan seperti Akta Binatang 1953, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 dan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1957.

“Kami bekerjasama dengan pihak berkuasa terutama Jabatan Vaterinar Malaysia dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN),” katanya.

Dia berharap masyarakat lebih peka dan memainkan peranan sebagai manusia demi menjamin haiwan menikmati kehidupan lebih baik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Mac 2018 @ 10:29 AM