PENYANYI tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan suaminya Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa teruja apabila puteri sulung mereka dapat menyusu badan dengan mudah.

"Alhamdulillah, keadaan Siti dan anak stabil. Kami bersyukur bayi lahir dalam keadaan sihat.

"Siti baru saja menyusukan bayi dan semuanya berjalan lancar. Bayi pun tak banyak ragam dan berada di sisi ibunya," katanya.

Detik manis itu dikongsi Khalid menerusi rakaman audio kepada wartawan semasa siaran langsung program Comel Pipi Merah: Sembang-Sembang di Facebook Harian Metro hari ini.

Siti Nurhaliza sudah mula menyusukan bayi perempuannya, hari ini. FOTO fail HM

Penyanyi Segala Perasaan itu selamat melahirkan bayi perempuan di sebuah pusat perubatan swasta di Kuala Lumpur, pada jam 8.17 pagi hari ini.

Bayi seberat 3.55 kilogram itu dilahirkan secara pembedahan.

Pasangan itu memilih Fatimah Az-Zahra sebagai nama sementara bersempena nama anakanda Nabi Muhammad SAW.

Berita berkaitan:

Fatimah Az-Zahra gelaran diberi

Siti Nurhaliza timang anak perempuan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Mac 2018 @ 6:08 PM