Siti Nurhaliza akan berpantang di rumah. FOTO SYARAFIQ ABD SAMAD


PENYANYI tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza mendapat tajaan urut tradisional, bertungku dan makanan berkhasiat sepanjang tempoh berpantang selama 44 hari.

Siti, 39, meluahkan rasa bersyukur dengan tajaan daripada pihak menawarkan perkhidmatan berpantang khusus untuknya dan puteri sulungnya.

Pengurusnya, Rozi Abdul Razak berkata, Siti amat berbesar hati dengan tawaran yang diterima demi kesihatan diri dan bayinya.

"Alhamdulillah, sepanjang tempoh 44 hari berpantang, Siti mendapat tajaan pihak menawarkan perkhidmatan berpantang.

"Malah, makanan harian juga akan dihantar ke hospital dan rumah selain urut tradisional dan bertungku.

"Mereka juga akan menghantar pekerja khusus menjaga Siti dan bayinya kerana mereka memerlukan penjagaan rapi," katanya.

Siti bergelar ibu selepas melahirkan bayi perempuan di sebuah pusat perubatan di ibu kota, semalam.

Penyanyi Segala Perasaan itu melahirkan bayi berat 3.55 kilogram, kira-kira jam 8.17 pagi melalui pembedahan.

Untuk tempoh seminggu, bayi perempuan Siti menerima gelaran Fatimah Az-Zahra sebelum nama rasmi diumum selepas hari ketujuh kelahiran.

Bayi perempuan itu adalah cahaya mata anak pertama Siti selepas 11 tahun mendirikan rumah tangga dengan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Mac 2018 @ 8:35 PM