AZIZULHASNI Awang. FOTO Eizairi Shamsudin
Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Harapan sekali lagi disandarkan kepada jaguh keirin negara, Azizulhasni Awang untuk menyerlah di Sukan Komanwel Gold Coast.

The Pocket Rocketman dijadual menyertai keirin dan pecut individu bersama-sama Shah Firdaus Sahrom di Velodrom Anna Meares.

Ia umpama ‘rumah kedua’ kepada pelumba negara kerana mereka berpangkalan di negara yang sama hampir 11 tahun.

“Kita mengharapkan ada kilauan pingat diraih Azizulhasni di temasya itu,” jelas pengurus skuad berbasikal negara ke Gold Coast, Ramlay Ibrahim.

Bagaimanapun, ia bukan tugas yang mudah kerana saingan trek di Sukan Komanwel amat sengit dengan kehadiran Great Britain dan Australia selaku tuan rumah yang dikhabarkan melakukan persiapan rapi.

Namun ia turut dilihat tidak mustahil jika peluang terhidang terutama dalam keirin dan Malaysia pernah membuktikan kemampuan pada Sukan Komanwel 2010 namun dibatalkan apabila didakwa menolak pelumba New Zealand, Simon Van Vel Thooven, sekali gus emas diberikan kepada rakan senegara, Josiah Ng.

Malaysia menghantar 13 pelumba secara keseluruhan dengan tugas bagi acara pecut berpasukan digalas Muhammad Fadhil Zonis, Muhammad Khairil Nizal Rasol dan Mohamad Shariz Efendi Mohd Shahrin.

Mereka diharap mampu menggegar untuk sekurang-kurangnya memadamkan rekod kebangsaan berusia 10 tahun - 44.725 saat dilakukan Azizulhasni Awang, Josiah Ng dan Mohd Rizal Tisin pada Olimpik 2008.

Turut diharapkan menyerlah adalah pemenang emas acara perlumbaan mata Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2018, Jupha Somnet yang dilihat mampu mencabar di pentas lebih tinggi.

Dua lagi pelumba wanita yang tersenarai adalah Fatehah Mustapa dan Farina Shawati Mohd Adnan.

Barisan pelumba endurance pula diketuai Irwandie Lakasek, Eiman Firdaus Mohd Zamri, Afiq Huznie Othman, Nur Aiman Rosli dan Muhammad Daniel Haikkal Edy Suhaidee.

Pada temasya di Glasgow empat tahun lalu, skuad berbasikal yang menghantar lapan pelumba meraih sebutir gangsa dalam acara keirin menerusi Azizulhasni.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Mac 2018 @ 2:55 AM