WANITA bersama teman lelakinya, warga Britain yang dipercayai aktif menipu dengan mencari mangsa di laman web. FOTO NSTP
Fazrik Kamarudin

Kuala Lumpur: Menipu ramai mangsa untuk hidup mewah serta menginap di hotel lima bintang. Itu kegiatan sepasang kekasih yang aktif melakukan penipuan dalam pembelian barangan mewah membabitkan kerugian berjumlah RM400,000.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharuddin Abdullah berkata, kedua-dua suspek, seorang wanita warga tempatan berusia 27 tahun dan lelaki warga Britain berusia 32 tahun ditahan di dalam sebuah bilik hotel lima bintang, di sini, Jumaat lalu.

“Mereka ditahan oleh anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi selepas kami menerima beberapa laporan daripada mangsa.

“Suspek aktif sejak beberapa bulan lalu dan mereka menghubungi mangsa yang mempunyai barang yang ingin dijual melalui dalam talian.

“Kemudian mereka akan berjumpa mangsa dan mendakwa sudah memasukkan sejumlah wang dan menunjukkan bukti dan resit transaksi bank kepada mangsa.

“Mangsa yang percaya dengan resit transaksi yang ditunjukkan kemudian menyerahkan barang pembelian kepada suspek,” katanya dalam sidang media, semalam.


LAPORAN Harian Metro, 9 Mac lalu. FOTO NSTP

Shaharuddin berkata, antara barang yang menjadi sasaran pasangan berkenaan adalah jam tangan mewah, barang kemas dan telefon pintar.

“Hasil semakan mendapati lelaki warga Britain itu memiliki satu rekod jenayah curi.

“Visa suspek warga Britain itu didapati sudah tamat tempoh selama enam bulan manakala suspek wanita tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

“Kedua-dua suspek dikenakan tahanan reman selama lima hari dan tamat hari ini. Mereka kemudian diserahkan kepada IPD Brickfields untuk siasatan berdasarkan laporan yang dibuat di sana.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Mac 2018 @ 4:47 AM