KEADAAN lengang di sekitar Downtown Prima Tropika. FOTO Rosela Ismail
Norizuan Shamsuddin

Kuala Lumpur: Jumlah peniaga atas talian yang semakin ramai dikesan antara punca sambutan pengguna terhadap bazar larut malam di sekitar Lembah Klang berkurangan sejak kebelakangan ini.

Malah, peniaga juga dikesan mula beralih arah dengan memilih menjalankan aktiviti perniagaan dalam talian daripada menyewa premis berikutan sewa kedai atau tapak berniaga yang mahal.

Tinjauan wartawan Harian Metro di beberapa bazar larut malam di pinggir kota terutama di sekitar Selangor membabitkan Uptown Night Bazaar Puchong, Downtown Prima Tropika dan Uptown Jalan Reko, Kajang, baru-baru ini, mendapati kunjungan pengguna di kawasan perniagaan terbabit semakin berkurangan.

Malah, terdapat beberapa kedai dan tapak juga kosong berikutan ditinggalkan peniaga kerana tidak mampu menampung perbelanjaan bagi kos sewa yang tinggi.

Peniaga Uptown Night Bazaar Puchong, Razali Zakaria, 37, berkata, kecanggihan teknologi menyebabkan peniaga atas talian wujud ibarat cendawan tumbuh selepas hujan, sekali gus mewujudkan persaingan yang sengit kepada peniaga kerana ramai pengguna memilih membeli barangan dalam talian.

“Jika dilihat di Uptown Night Bazaar Puchong sekarang ini, banyak premis perniagaan kosong untuk disewa dan hanya separuh saja premis yang beroperasi berbanding tiga tahun lalu sewaktu kawasan ini mula dibuka apabila semua premis beroperasi,” katanya.

Dia yang sudah tiga tahun berniaga kasut di kawasan terbabit berkata, pihaknya tidak menyalahkan pengurusan bazar itu berikutan faktor yang wujud adalah disebabkan persaingan sengit antara peniaga.


KEBANYAKAN peniaga ‘gulung tikar’ akibat pengunjung berkurangan di Uptown Puchong Night Bazar. FOTO Rosela Ismail

Katanya, pihak pengurusan bazar terbabit juga sudah melakukan pelbagai program bagi menarik minat pelanggan datang ke bazar berkenaan.

“Pihak pengurusan bazar juga bertungkus-lumus menarik minat pengunjung dengan menjalankan pelbagai program seperti pertandingan karaoke, ceramah dan majlis sambutan perayaan.

“Jika mereka tidak buat kerja dan hanya kutip sewa saja, mungkin peniaga boleh salahkan mereka tetapi sebaliknya mereka berusaha menarik minat pengunjung datang ke bazar ini.

“Cuma sekiranya pihak pengurusan dapat mengurangkan sewa, mungkin ia menarik minat peniaga untuk menyewa di kawasan ini,” katanya.

Menurutnya, peniaga juga perlu memikirkan kaedah alternatif bagi menarik pelanggan dan tidak boleh berharap kepada kehadiran pelanggan di kedai saja.

“Selain menjual barangan di bazar ini, saya turut mempromosi dan menjual barangan di Internet bagi memastikan urus niaga berjalan walaupun kurang pelanggan yang datang ke kedai.

“Jadi, peniaga di bazar juga boleh berniaga secara dalam talian sebagai alternatif bagi menambahkan pendapatan,” katanya.

Peniaga tudung, Fatimah Az Zahre, 26, yang berniaga di Uptown Jalan Reko tidak menafikan kewujudan perniagaan atas talian menjadikan pengunjung di kawasan terbabit semakin berkurangan.

Dia yang hampir setahun berniaga di kawasan terbabit berkata, kehadiran pelanggan di situ hanya ramai pada malam minggu dan cuti umum serta awal bulan ketika gaji baru masuk.

“Pada hari biasa, suasana agak suram dan tidak ramai pengunjung yang datang.

“Hal itu menyebabkan jualan peniaga merosot dan ada antara mereka terpaksa melepaskan gerai dan mula membabitkan diri dalam perniagaan atas talian,” katanya.


KEADAAN lengang di sekitar Downtown Prima Tropika. FOTO Rosela Ismail

Sementara itu, peniaga air di kawasan sama, Mohd Zulhilmi Paudzi, 29, turut memaklumkan kadar sewa yang meningkat setiap tahun menjadikan barangan dijual di kawasan berkenaan terpaksa dinaikkan harga sehingga menyebabkan pengguna memilih membeli barangan secara dalam talian yang menawarkan harga yang murah.

“Peniaga dalam talian dapat menawarkan harga yang murah kerana mereka tidak perlu memikirkan kos sewa premis perniagaan yang mahal.

“Persaingan yang sengit ini memerlukan peniaga bazar mencari pelbagai alternatif untuk bersaing secara sihat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Mac 2018 @ 5:20 AM