SON Heung Min. FOTO AFP
AFP

London: Pemain Korea Selatan, Son Heung Min boleh dianggap sebagai pemain terbaik pernah dihasilkan benua Asia berikutan persembahan mengagumkannya bersama Tottenham Hotspur.

Heung Min, 25, sudah meledak 18 gol dalam semua pertandingan musim ini, termasuk tujuh dalam lima perlawanan terakhir selain dalam laluan untuk memecah rekodnya sendiri 21 gol oleh pemain Korea dalam liga Eropah.

“Dari segi persembahan terkini dan impaknya dalam satu daripada liga utama dunia, tidak diragui Son sudah berada di atas sana dan tidak ramai pemain Asia yang mempunyai musim seperti dilaluinya ketika ini,” kata pakar bola sepak Asia, John Duerden.

Piala Dunia tiga bulan lagi memberi peluang Heung Min untuk mengesahkan statusnya sebagai terbaik di Asia.

Korea Selatan meneruskan persiapan Piala Dunia mereka dengan aksi persahabatan menentang Ireland Utara, malam ini.

Sepak mula awal di Belfast bermakna perlawanan itu tidak akan berakhir sebelum tengah malam di Seoul. Namun peminat di negara itu sudah biasa berjaga malam untuk menyokong Heung Min dari jauh.

“Dia adalah bintang sukan ternama dan seorang daripada personaliti terkenal di negara itu,” ujar Duerden.

“Rakyat Korea bangga seorang daripada warga negara mereka memenangi perlawanan dan mendapat sanjungan di England dan Eropah. Dia satu berita besar.”

Perjalanan menuju kemasyhuran dan kegemilangan bagaimanapun berliku buatnya.

Bapanya Son Woong Jung, yang juga bekas pemain profesional, mengambil keputusan luar baisa di Korea untuk mengeluarkan anaknya daripada sekolah menengah pada usia 16 tahun untuk menuju ke kelab gergasi Jerman, Hamburg.

Dari situ dia menyertai Bayer Leverkusen, yang mana dia meraih pengalaman pertama aksi Liga Juara-Juara, sebelum muncul pemain paling mahal Asia sepanjang zaman apabila dia menyertai Spurs pada 2015.

Di sebalik permulaan sukar kehidupan di England, Heung Min memutuskan untuk kekal dan merebut tempatnya dalam kesebelasan utama dan membentuk rantaian empat serangan bersama Harry Kane, Christian Eriksen dan Dele Alli.

“Dia terlalu merendah diri dan dia seorang lelaki biasa,” kata pengurus Spurs, Mauricio Pochettino.

“Saya fikir dia pemain yang amat penting buat kami, menjaringkan banyak gol dan dia amat konsisten.”

Heung Min sudah menyumbat 47 gol bersama Tottenham dan melepasi catatan rakan senegara Park Ji Sung sebagai penjaring terbanyak Asia dalam sejarah Liga Perdana Inggeris.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Mac 2018 @ 4:05 AM