SHILA Amzah. FOTO arkib NSTP
Hazwan Faisal Mohamad
hazwanfaisal@nstp.com.my


PENYANYI yang sedang mencipta nama di China, Shila Amzah, 27, antara rakyat Malaysia yang tersenarai dalam Forbes 30 Under 30 Asia 2018 yang diumumkan semalam.

Shila tersenarai bagi Kategori Hiburan dan Sukan dalam senarai tahunan yang kini memasuki tahun ketiga.

Beliau antara 300 individu berusia bawah 30 tahun yang berjaya dalam bidang masing-masing di Asia.

Selain Shila, beberapa rakyat Malaysia turut tersenarai dalam tujuh daripada 10 kategori.

Bagi Kategori Teknologi Enterprise, Pengarah Pengembangan bagi Australia dan New Zealand, NEMio Foundation, Jason Lee, 30, turut tersenari selain Pengasas Zahara, Amira Geneid, 25, (Seni), dan Pengasas FatHopes Energy, Vinesh Sinha, 29, dalam kategori Industri, Pengeluaran dan Tenaga.

Pengasas bersama PolicyStreet iaitu Wilson Beh, 27, dan Winnie Chua, 29, tersenarai bagi kategori Modal Teroka dan Kewangan, manakala pengasas The Picha Project iaitu Lee Swe Lin, 24; Lim Yuet Kim, 27, dan Ling Sook Shian, 25; tersenarai dalam Kategori Usahawan Sosial.

Selain itu, Ammar Roslizar, 28, dan Ammar Shahrin, 29, yang mengasas bersama agensi pelancongan, ARBA Travel & Tours Sdn Bhd tersenarai dalam Kategori Runcit dan E-Dagang.

Bagaimanapun, Malaysia tidak mempunyai wakil dalam senarai kategori Media, Pemasaran dan Pengiklanan; Teknologi Pengguna dan Sains dan Penjagaan Kesihatan.

Tahun lalu, usahawan dan selebriti Neelofa serta Vivy Yusoff berada dalam senarai berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Mac 2018 @ 11:37 PM