AYDA Jebat. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Ardini Sophia Sina

Siapa sangka, selebriti yang dahulunya hanya dipandang sebelah mata kini berjaya melakar kecemerlangan bukan hanya dalam bidang nyanyian tetapi juga lakonan.

Anak kelahiran Melaka, Ayda Jebat sudah boleh tersenyum melihat kanvas seni yang penuh warna selepas mengharungi ranjau berliku. Wanita berusia 26 tahun ini lega usahanya membuahkan hasil.

Awal pembabitan, semuanya serba tidak kena. Tersingkir pada minggu ketiga pertandingan Akademi Fantasia musim kesembilan, Ayda tidak pernah terfikir bakatnya akan diterima umum.

“Dulu saya bermula dengan Akademi Fantasia sebab mahu jadi penyanyi. Namun, susah untuk tempatkan diri. Lepas itu, saya buat keputusan jadi pelakon. Ketika itu saya pasang azam kalau berjaya dalam bidang lakonan saya mahu cuba hasilkan lagu.

“Alhamdulillah, segala kerja keras membuahkan hasil. Tak sangka lakonan dan nyanyian saya diterima baik. Untuk dikenali, itu perkara kedua. Paling penting adalah penerimaan peminat.

“Bukan mudah untuk berjaya dalam nyanyian dan lakonan tetapi saya bersyukur kerana ada peminat untuk dua cabang seni itu. Saya juga gembira kerana ada orang yang boleh nasihatkan saya untuk susun kerjaya,” katanya.

Sebaik saja membuat keputusan menjadi pelakon, Ayda nekad beraksi sebaik mungkin di hadapan kamera. Dia tidak mahu menjadi pelakon yang berjaya hanya kerana gandingannya seorang yang hebat atau bayaran lumayan.

Meletup dengan drama Rindu Awak 200%, Ayda mengumpul satu demi satu trofi kemenangan daripada pelbagai acara anugerah. Antaranya Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-29, Anugerah Planet Muzik ke-15 dan Anugerah Melodi ketiga.

Ada selebriti yang pernah menarik diri daripada terus dicalonkan kerana ingin memberikan peluang kepada selebriti lain namun Ayda belum terfikir melakukan hal yang sama.

AYDA Jebat. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam

“Bercakap perihal anugerah, saya tidak pernah terfikir nama akan dicalonkan. Saya juga tidak terfikir untuk menarik diri. Bagi saya, pencalonan membawa semua pihak yang terbabit sama ada dalam pembikinan drama, filem mahupun lagu.

“Sebagai contoh, katakanlah saya dicalonkan sebagai pelakon wanita terbaik atau penyanyi terbaik, trofi mungkin hanya untuk saya tetapi saya bawa nama semua yang menjayakan karya itu.

“Kejayaan ini bukan mengenai saya seorang sebaliknya ada orang lain yang bertungkus-lumus. Oleh itu, saya tidak akan tolak sekiranya dicalonkan,” katanya.

Kata Ayda lagi, selagi ada projek bagus dan berkualiti serta peminat yang memberikan sokongan, dia akan terus berjuang melakukan terbaik.

Kali pertama menjulang trofi, wanita ini melihat ia sebagai landasan untuk dikenali. Meniti kehidupan sebagai anak seni membuatkan dirinya lebih matang dalam menilai kejayaan yang diraih.

“Dulu, saya anggap ia sebagai platform untuk lebih dikenali dan popular. Namun apabila kian matang, saya anggap kemenangan itu pemangkin semangat untuk buat lebih baik.

“Sebenarnya, paling susah adalah apa yang perlu kita buat selepas menang. Bukan mahu katakan saya orang lama dalam industri tetapi setidak-tidaknya, banyak perkara yang saya sudah belajar.

“Setiap kali nampak calon lain, kita akan terfikir untuk buat lebih baik agar memberikan saingan sengit. Kalau tidak menang pun, penonton tahu karya kita itu juga berkualiti cuma bukan rezeki pada ketika itu,” katanya.

Menyambut ulang tahun ke-26 pada 17 Mac lalu, Ayda melancarkan lagu balada berjudul Bagai Pelangi. Katanya, lagu itu dijadikan runut bunyi untuk filem Pinjamkan Hatiku.

“Ada peminat tanya kenapa lagu itu tidak dikeluarkan, oleh itu saya ambil keputusan melancarkannya sempena hari jadi. Ia buah tangan untuk peminat yang menyukai lagu itu dan menyokong Pinjamkan Hatiku.

“Ia lagu balada pertama jadi saya harap semua orang akan suka. Bagai Pelangi boleh didapati di semua platform digital. Untuk projek seterusnya, ada lagu baru tetapi saya belum boleh kongsi buat masa ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Mac 2018 @ 3:46 AM